Operasi bas ekspres Aeroline digantung bermula 6 Nov hingga 5 Dis - APAD

APAD berkata indakan ini bertujuan menjamin keselamatan penumpang dan mengurangkan kesesakan bandar.
PUTRAJAYA: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengesahkan operasi perkhidmatan bas ekspres Aeroline, digantung selama sebulan bermula 6 Nov hingga 5 Dis ini.
Ringkasan AI
- APAD menggantung operasi bas ekspres Aeroline selama sebulan bermula 6 Nov hingga 5 Dis, selepas syarikat Zulco Sdn Bhd didapati menyalahgunakan lesen dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan.
- Syarikat berulang kali beroperasi di luar terminal tanpa kebenaran, meskipun telah diberi amaran dan surat tunjuk sebab; penggantungan dibuat di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
- Tindakan ini bertujuan menjamin keselamatan penumpang dan mengurangkan kesesakan bandar, serta memastikan pematuhan syarat lesen bagi perkhidmatan bas ekspres.
"APAD ingin menegaskan bahawa penggantungan Lesen Pengendali dan Permit Kenderaan syarikat ini dilaksanakan di bawah Seksyen 27 Akta Pengangkutan Awam Darat 201, kerana syarikat gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, khususnya di bawah Perkara 16 dan Perkara 19, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan Bas Ekspres," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen pada 21 Okt, memutuskan syarikat itu bersalah atas kesalahan berulang dan mengenakan penggantungan Lesen Pengendali selama 30 hari.
Sehubungan itu, Zulco Sdn Bhd tidak dibenarkan mengendalikan mana-mana perkhidmatan di bawah Lesen Pengendali berkenaan sepanjang tempoh tersebut.
"Tindakan ini bertujuan menjamin keselamatan penumpang, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar, serta menyokong usaha pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pihak berkuasa tempatan, untuk mewujudkan persekitaran bandar yang teratur, selamat dan efisien.
"APAD turut mengambil keputusan untuk menggantung sementara lesen syarikat bas ini setelah mengenal pasti beberapa isu pelanggaran syarat lesen yang berulang dan memerlukan tindakan pembetulan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan APAD itu memaklumkan syarikat berkenaan sebelum ini dinasihatkan dan diberi amaran untuk menukar permit perkhidmatan ke terminal yang diluluskan, namun enggan berbuat demikian.
Ekoran itu, APAD mengeluarkan tiga surat tunjuk sebab atas kesalahan yang sama antara 13 Mac hingga 10 Okt lepas, dan syarikat itu mengaku bersalah melalui maklum balas rasmi yang dikemukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


