MALAYSIA
Operasi bersepadu ST, TNB banteras penggunaan elektrik tidak sah untuk perlombongan mata wang kripto

ST dengan kerjasama TNB menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu membanteras kegiatan penggunaan elektrik secara tidak sah yang dikaitkan dengan perlombongan mata wang kripto. -Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu untuk membanteras kegiatan penggunaan elektrik secara tidak sah yang dikaitkan dengan perlombongan mata wang kripto.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Tenaga (ST) dan TNB menjalankan operasi bersepadu di Alor Setar untuk membanteras kecurian elektrik berkaitan perlombongan mata wang kripto, dengan kerugian dianggarkan RM273,679 sebulan.
- Sindiket menggunakan taktik sambungan terus tanpa meter dan identiti palsu, menyebabkan risiko keselamatan seperti kebakaran dan kejutan elektrik, serta kesukaran pemantauan.
- Aktiviti perlombongan Bitcoin belum diklasifikasikan sebagai jenayah, namun pelaku boleh dikenakan hukuman berat di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990, termasuk denda sehingga RM5 juta dan penjara hingga 10 tahun.
Operasi diketuai Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan, ST, Ismail Zaili Yusop selain turut disertai pihak TNB dalam menjayakan operasi ini.

Timbalan Menteri PETRA, Tuan Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan, Suruhanjaya Tenaga, Ismail Zaili Yusop ketika sidang media selepas operasi penguatkuasaan di Kedah.
Menurut data terkini, sejak 2018 kecurian elektrik berkaitan perlombongan Bitcoin telah merekodkan kerugian keseluruhan mencecah RM4.8 bilion.
Tambah kenyataan itu lagi, kegiatan dijalankan secara tersembunyi dan semakin sukar dikesan yang mana premis terbabit kebiasaannya beroperasi 24 jam tanpa kehadiran pekerja (unmanned) serta dilindungi sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan pintu besi berlapis.
Malah, sindiket menggunakan taktik menyambung terus dari talian servis TNB tanpa melalui meter, menjadikan pemantauan penggunaan elektrik lebih mencabar yang mana banyak permohonan bekalan elektrik dibuat menggunakan identiti palsu atau syarikat tidak sah.
Dalam masa sama, selain kerugian kewangan, kegiatan ini mengundang risiko keselamatan serius kepada masyarakat yang mana pemasangan kabel yang tidak mengikut spesifikasi boleh menyebabkan kejutan elektrik, kebakaran dan litar pintas.
Sementara itu, ST memaklumkan aktiviti perlombongan Bitcoin belum diklasifikasikan sebagai jenayah oleh kerajaan dan tidak dikawal selia oleh mana-mana agensi tunggal.
Tindakan undang-undang di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik 1990 juga memberi ruang untuk hukuman berat dikenakan terhadap pelaku, termasuk denda sehingga RM5 juta dan penjara hingga 10 tahun, bergantung kepada kategori pengguna dan rekod kesalahan.
ST juga menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dan pemilik premis pula disarankan membuat permohonan Change of Tenancy (COT) kepada TNB sebelum menyewakan hartanah mereka, bagi mengelakkan risiko ditanggung beban bil tertunggak akibat aktiviti haram penyewa.
Komitmen ST juga berterusan dalam mempergiat program kesedaran, pemantauan serta pelaksanaan undang-undang bagi membendung kes kecurian tenaga secara sistematik serta memastikan keselamatan pengguna dan kelestarian tenaga negara terus terpelihara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami