MALAYSIA

Operasi Besiport: JKDM WPKL gagalkan cubaan seludup besi dan skrap bernilai RM7.9 juta

Bernama 05/11/2025 | 05:14 MYT
Jabatan Kastam menyita 53 kontena berisi dagangan besi dan skrap aluminium bernilai RM7.9 juta, yang diimport tanpa lesen sah. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita 53 kontena berisi dagangan besi dan skrap aluminium bernilai RM7.9 juta, yang diimport tanpa lesen sah dalam operasi bersepadu di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • JKDM WPKL menyita 53 kontena dagangan besi dan skrap aluminium tanpa lesen sah bernilai RM7.9 juta di Pelabuhan Klang dalam Operasi Besiport bersepadu dengan CIDB dan SIRIM.
  • Kontena tersebut dimiliki oleh syarikat yang sama, dengan berat keseluruhan 956,686 kilogram dan nilai sitaan sebanyak RM7.93 juta, melibatkan duti import dan cukai RM1,098,888.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tanpa kastam, sementara pengimportan besi tanpa kelulusan CIDB menimbulkan risiko terhadap kualiti dan keselamatan industri.


Pengarahnya Wan Norizan Wan Daud berkata Operasi Besiport itu dilaksanakan dari 28 Ogos hingga 5 Sept lepas, dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan SIRIM Berhad (SIRIM) di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, Klang.

"Hasil pemeriksaan rapi di kawasan itu menemukan 35 kontena mengandungi besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan, manakala 18 kontena lagi mengandungi skrap aluminium dan besi.

"Kesemua kontena ini dimiliki oleh sebuah syarikat yang sama," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam WPKL, di sini, hari ini dengan turut dihadiri Pengarah CIDB WPKL Datuk Dr Gerald Sundaraj dan Pengurus Besar Kanan Sektor Pendaftaran dan Akreditasi Suhaimi Mansor.

Beliau berkata jumlah berat keseluruhan dagangan tersebut ialah 956,686 kilogram, dengan nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM7.93 juta, manakala anggaran duti import dan cukai terlibat berjumlah RM1,098,888.

Wan Norizan berkata pengimportan besi jenis steel structure bagi kegunaan industri pembinaan memerlukan Sijil Perakuan (COA) daripada CIDB, manakala pengimportan skrap aluminium dan besi pula memerlukan kelulusan daripada SIRIM Berhad.

"Dalam kes ini, pihak terbabit dipercayai telah membuat ikrar yang tidak betul, bagi mengelak keperluan lesen import," katanya sambil menambah bahawa tiada tangkapan dilakukan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, kerana mengimport atau mengeksport apa-apa barang tak berkastam atau larangan import.

Sementara itu, Suhaimi berkata pengimportan besi bagi tujuan industri yang tiada kelulusan CIDB memberi risiko dari segi kualiti dan keselamatan.

"Kualiti dibimbangi berada di bawah standard dibenarkan dan hal itu boleh membahayakan orang awam," katanya.

-- BERNAMA








#Jabatan Kastam Diraja Malaysia #kontena berisi dagangan besi dan skrap aluminium #rampasan #diimport tanpa lesen sah