MALAYSIA

Operasi carilamat mangsa bot karam di Langkawi diteruskan hari ini

Bernama 10/11/2025 | 01:15 MYT
Enam agensi terlibat dalam operasi SAR di perairan Langkawi, dengan lima aset Maritim Malaysia digerakkan iaitu KM Siangin, PERKASA 1224, PETIR 81, PERKASA 1226 dan CL 415 - SUMS APMM. - Foto Maritim Malaysia
ALOR SETAR: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa bot karam di perairan Langkawi diteruskan hari ini dengan radius pencarian diperluaskan kepada 255.66 batu nautika persegi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi yang memasuki hari kedua itu disambung semula pada 7.30 pagi tadi.

Enam agensi terlibat dalam operasi berkenaan, dengan lima aset Maritim Malaysia digerakkan iaitu KM Siangin, PERKASA 1224, PETIR 81, PERKASA 1226 dan CL 415 - SUMS APMM.

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu turut menggerakkan tiga aset (PSC 20, RH 68 dan PLC 5); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) satu aset, KD Ledang; Jabatan Perikanan satu aset, DOF 2511; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) satu aset bot Kevlar; manakala Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) satu aset bot RIB.

Setakat malam tadi, tujuh imigran ditemukan maut, manakala 13 lagi berjaya diselamatkan.

Sebelum ini, operasi dilancarkan susulan insiden sebuah daripada tiga bot yang dipercayai membawa kira-kira 300 imigran karam berhampiran Pulau Tarutao, di perairan sebelum sempadan Thailand-Malaysia.

-- BERNAMA


#Langkawi #bot karam #imigran Myanmar #Maritim Malaysia