PUTRAJAYA: Pengoperasian institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini adalah sama seperti diumumkan pada 31 Mei, iaitu semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tidak dibenarkan.

Sehubungan itu, KPT menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan pihak IPT boleh merujuk prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pengajian Tinggi bertarikh 31 Mei 2021 yang telah diwartakan merangkumi aspek pengoperasian IPT bagi tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Pengoperasian merangkumi semua aktiviti seperti keberadaan pelajar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kehadiran staf akademik dan bukan akademik, pelaksanaan aktiviti pelajar, pelaksanaan peperiksaan antarabangsa dan badan profesional serta kemasukan pelajar antarabangsa.

Pada 31 Mei lepas, KPT menetapkan tujuh aspek pengoperasian IPT di seluruh negara sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh antaranya pelajar perlu kekal berada di lokaliti masing-masing dan meneruskan PdP secara dalam talian.

Sekatan pergerakan penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijadualkan tamat pada 14 Jun ini bersambung dua minggu lagi, berkuat kuasa hari ini hingga 28 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes baharu harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.

"KPT ingin menasihati semua IPT dan para pelajar agar sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa," menurut kementerian itu.

Semua warga pendidikan tinggi boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT dalam tempoh sekatan pergerakan penuh melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03- 8870 6777/6949/ 6623/ 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.

-- BERNAMA