KUALA LUMPUR: Hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja yang dibenarkan masuk ke kampus, ujar Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad. 

Perkara itu jelasnya, adalah tertakluk kepada kapasiti IPT dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Ini merupakan satu langkah bagi membentuk persekitaran yang selamat dan imuniti kelompok (herd immunity) di kampus.

"Bagi pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan, mereka diminta untuk menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan,"katanya dalam sidang media di ibu negara, pada Selasa. 

Ujar beliau, KPT dengan kerjasama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang giat melaksanakan Program VACC2Campus bertujuan meningkatkan jumlah warga institusi pengajian tinggi (IPT) yang mendapat vaksinasi lengkap sebelum kampus dibuka bagi melancarkan proses kemasukan pelajar. 

Kementerian itu juga mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh mendapat vaksin dan berdaftar dengan mySejahtera, akan menerima suntikan vaksin lengkap menjelang hujung Oktober 2021.


[TERKINI] Pengumuman Operasi Institusi Pendidikan Tinggi | 14 September 2021

Sehingga kini, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin. 

"Oleh itu, saya menyeru semua pelajar dan kakitangan IPT yang masih belum divaksin, untuk segera berbuat demikian. Bagi tujuan ini, warga IPT boleh mendapatkan vaksin secara walk-in di mana-mana Pusat
Pemberian Vaksin,"katanya dalam satu sidang media pada Selasa. 

Tambahnya, pelajar dan kakitangan IPT hanya perlu bawa kad pelajar atau kad pekerja dan kad pengenalan atau passport.

Bagi pelajar baharu, mereka perlu membawa surat tawaran kemasukan ke IPT beserta dengan kad pengenalan atau passport.