Operasi kedai makan, restoran dibenarkan hingga jam 10 malam

Nickyson Nyambar
Januari 21, 2021 10:47 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan untuk membenarkan kedai makan dan restoran beroperasi sehingga pukul 10 malam ini tertakluk kepada beberapa syarat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan kedai makan dan restoran untuk beroperasi sehingga jam 10 malam.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walau demikian ia masih tertakluk kepada perkhidmatan bawa pulang (dine-out), pandu lalu dan secara penghantaran sahaja (food delivery).
"Setelah berbincang dan mendapat nasihat serta penilaian risiko dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi (bagi) restoran, kedai atau gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera atau pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk antara 6 pagi sehingga 10 malam
"(Keputusan) ini bermula esok, 22 Januari 2021," katanya.
Ujar beliau, kerajaan telah menerima aduan dan keluhan orang ramai serta para perniaga berkenaan had tempoh operasi kedai makan yang sedia ada iaitu hanya pada jam 8 malam.
Oleh yang demikian kata Ismail Sabri, kerajaan mengambil serius pandangan dan melaksanakan keputusan yang sewajarnya dalam menjaga kebajikan rakyat khasnya yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata demikian dalam sidang media harian PKP yang berlangsung di Putrajaya pada petang Khamis.
#PKP #Tempoh operasi kedai makan dilanjut #Menteri Kanan Pertahanan #Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob