[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Operasi kesan lelaki dikhuatiri lemas diperluas - APMM Terengganu

Bernama 19/02/2024 | 08:25 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat meneruskan misi mencari dan menyelamat (SAR) Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, yang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di Pantai Batu Buruk hari ini. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk, di sini pagi semalam, diperluas ke kawasan seluas 67.8 batu nautika hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata operasi hari ini dimulakan pada 7 pagi tadi dengan menggunakan Kapal Maritim (KM) Rawa.
"Operasi semalam yang membabitkan kawasan seluas 50.4 batu nautika, ditamatkan pada 7 petang kerana keadaan gelap dan ombak bergelora.
"Sektor pencarian hari kedua diperbesarkan ke kawasan seluas 67.8 batu nautika berpandukan keadaan arus dan cuaca hari ini," katanya.
Mohd Khairulanuar berkata selain agensi keselamatan, orang awam turut membantu dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa menggunakan tiga jet ski.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di 09-6223657.
-- BERNAMA
#SAR #Zulkarnain Mohamed Zubir #Pantai Batu Buruk #APMM #maritim