Operasi keselamatan di Caracas: Malaysia tolak sebarang bentuk campur tangan asing

Malaysia menolak sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan dalaman sesebuah negara, termasuk ancaman atau penggunaan kekerasan, menurut Kementerian Luar Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia menolak sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan dalaman sesebuah negara, termasuk ancaman atau penggunaan kekerasan, menurut Kementerian Luar Malaysia.
Kementerian itu menyatakan pendirian berkenaan dalam kemas kini mengenai situasi di Caracas, Venezuela, sambil memaklumkan bahawa ia memantau dengan teliti perkembangan terkini susulan laporan mengenai operasi keselamatan yang dijalankan di ibu negara itu pada Sabtu.
"Ini merupakan prinsip asas yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra pada Ahad.
Wisma Putra berkata, Malaysia secara konsisten menegakkan kepentingan penyelesaian pertikaian secara aman melalui dialog, penghormatan terhadap kedaulatan negara, serta pematuhan kepada norma antarabangsa.
"Pada saat genting ini, adalah penting bagi pihak-pihak yang terlibat untuk mengamalkan sikap menahan diri sepenuhnya, dan mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan diplomasi," menurut kenyataan itu.
Selaras dengan perkembangan tersebut, Wisma Putra berkata, keutamaan kementerian kekal tertumpu kepada keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara.
Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Caracas telah menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar di negara itu, dan mengesahkan bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti.
"Kedutaan sedang memantau rapi keadaan di lapangan dan bersiap sedia untuk memberikan bantuan konsular yang diperlukan sekiranya situasi memerlukan," tambah kenyataan itu.
Rakyat Malaysia di Venezuela yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Caracas melalui telefon di 58-212-720 4257 atau e-mel ke [email protected].
Kementerian itu berkata, ia akan terus memantau perkembangan itu secara aktif dan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya perlu.
"Rakyat Malaysia di Venezuela dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kedutaan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


