MALAYSIA
Operasi Khas Kad ATM: PDRM tahan 71 individu, rampas RM392,000

Rusdi menunjukkan barang rampasan Operasi Khas Kad ATM pada sidang media JSJK di Menara KPJ di sini, hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seramai 71 individu, termasuk lapan warga asing, ditahan dalam Operasi Khas Kad ATM yang dilancarkan di seluruh negara bagi menumpaskan sindiket penipuan kewangan melibatkan pemilikan dan kawalan kad ATM pelbagai bank.
Ringkasan AI
- Seramai 71 individu termasuk lapan warga asing ditahan dalam operasi khas seluruh negara bagi membanteras sindiket penipuan kewangan melibatkan pemilikan dan kawalan kad ATM pelbagai bank.
- Polis merampas wang tunai RM392,000, 925 kad ATM, 100 telefon bimbit, dokumen kewangan, lima kereta dan pelbagai peralatan elektronik dalam 59 serbuan yang dijalankan antara 29 hingga 31 Julai.
- Sebanyak 42 kertas siasatan dibuka di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Pemberi Pinjam Wang, dengan 16 individu telah didakwa dan selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
Menurut beliau, tangkapan membabitkan 55 lelaki tempatan, lapan wanita tempatan serta lapan warga asing, masing-masing empat dari Bangladesh dan seorang dari China, Nigeria, Myanmar dan Indonesia.
"Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 50 tahun," katanya.
Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan bukti.
“Antara yang dirampas termasuk wang tunai RM392,000, 925 keping kad ATM pelbagai bank, 100 telefon bimbit, 32 kad SIM, 16 beg, serta 55 dokumen kewangan seperti borang pinjaman dan salinan pendaftaran syarikat (SSM).
"Turut dirampas, 10 fail pinjaman wang, lima buah kereta masing-masing jenis Honda City, Toyota Vios, Perodua Myvi, Axia dan Viva serta beberapa peralatan elektronik seperti mesin pengira wang, komputer riba, tablet dan pencetak," ujarnya.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, sebanyak 42 kertas siasatan telah dibuka mengikut pelbagai peruntukan undang-undang.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu; Seksyen 424 kerana menyembunyikan harta secara tidak jujur; Seksyen 424A berhubung pemilikan atau kawalan instrumen pembayaran; dan Seksyen 511 kerana cubaan melakukan kesalahan.
“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menyimpan kad ATM atau buku akaun milik orang lain serta membantu pemberi pinjam wang tanpa lesen,” katanya.
Setakat ini, seramai 16 individu telah didakwa di mahkamah, enam orang di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955, manakala 10 lagi di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan.
“Baki suspek yang lain dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan. Mereka tidak dilepaskan begitu sahaja,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada masyarakat agar tidak menjadi ‘keldai akaun’ dengan menyerahkan akaun bank sendiri kepada sindiket untuk digunakan sama ada secara sukarela, disewa atau bertindak sebagai 'runner'.
“Tindakan ini merupakan satu kesalahan jenayah. Mana-mana individu yang memiliki atau mengawal instrumen pembayaran milik orang lain tanpa kebenaran boleh disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut beliau, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000, penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami