PUTRAJAYA: Operasi pembenihan awan (OPA) di Perak semalam disifatkan sebagai berjaya apabila negeri itu mencatatkan jumlah hujan antara 29.3 milimeter (mm) hingga 84.8 mm, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata, hujan mula dikesan seawal 3.30 petang semalam di zon sasaran iaitu di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah dan Empangan Temenggor.
Advertisement
“Kejayaan ini membuktikan keberkesanan teknologi OPA apabila dilaksanakan dalam kondisi atmosfera yang sesuai. Secara keseluruhannya, liputan hujan ini berjaya merangkumi kawasan tadahan utama bagi kedua-dua empangan kritikal tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, operasi intervensi itu adalah komitmen berterusan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dengan kerjasama erat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mendepani isu penyusutan paras air di kawasan tadahan akibat cuaca kering.
METMalaysia dalam kenyataan berasingan memaklumkan, semasa operasi dijalankan, analisis meteorologi menunjukkan kehadiran awan konvektif dan awan kumulus menara yang sangat aktif di zon sasaran.
Faktor keberkesanan operasi turut disokong oleh kandungan kelembapan atmosfera tinggi serta keadaan atmosfera tidak stabil, yang secara teknikal memacu pertumbuhan awan hujan dengan lebih cekap setelah proses pembenihan dilakukan.
Pembenihan awan bermula di Empangan Bukit Merah pada 2.45 petang dan Empangan Temenggor pada 3.05 petang dengan menggunakan teknik semburan larutan garam ke dalam formasi awan kumulus menara dengan menggunakan pesawat C130-Hercules milik TUDM pada ketinggian 5,200 hingga 7,000 kaki.
-- BERNAMA