Semua kenderaan pengangkutan awam hanya dibenarkan untuk beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.

Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, bagaimanapun teksi dan e-hailing dibenarkan untuk meneruskan perkhidmatan mereka.

Keputusan itu kata beliau, diambil ekoran laporan mengenai pengurangan jumlah penumpang yang menaiki kenderaan awam itu ketika waktu pejabat.

"Selain itu, penjarakan sosial satu meter juga sukar untuk dikawal dalam kenderaan pengangkutan awam," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, di sini pada Isnin.


Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, pemandu teksi dan e-hailing perlu memakai topeng muka dan mematuhi penjarakan sosial ketika beroperasi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mesyurat tersebut juga mengambil keputusan untuk mewajibkan semua pengendali stesen minyak supaya menyediakan cecair pembasmi kuman di premis mereka.

Beliau memberitahu, tindakan itu perlu diambil ekoran reaksi kepada kebimbangan orang ramai yang mencadangkan pihak stesen minyak untuk menggaji seorang pekerja khas untuk mengepam petrol.

"Ïa (menggaji pekerja khas) adalah sukar untuk dilaksanakan, jadi kita wajibkan mereka (pengendali stesen minyak) menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Jadi orang ramai boleh menggunakan cecair itu sebelum memegang pam berkenaan,"tambah beliau lagi.