KUCHING: Pasukan keselamatan masih giat menggerakkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) lelaki hilang di perairan laut Pulau Talang-Talang di Sematan di sini hari ini.

Pihak Bomba menerima panggilan bantuan SAR daripada Balai Polis Sematan pada jam 7 malam Jumaat untuk menyelamat mangsa seorang, dikenali sebagai Lee Chong Long, 46 tahun.

Maklumat awal daripada pusat gerakan operasi bomba Sarawak memberitahu kejadian bermula ketika mangsa dan seorang lagi rakannya melakukan pandu uji jet ski di perairan laut Pulau Talang-Talang.

Kehilangan mangsa disedari rakannya selepas mangsa tidak kelihatan ketika mereka dalam perjalanan pulang dari pulau berkenaan ke Jeti Pak Amit Santubong lokasi awal mereka berlepas.

“Mereka turun ke laut dari Jeti Pak Amit, Santubong dengan menaiki dua buah jet ski dengan tujuan untuk pandu uji jet ski, dan kedua dua nya telah menuju ke Pulau Satang da mengelilingi kawasan Pulau Satang sambil memancing.

“Si pelapor mula menyedari rakannya tidak kelihatan, setelah bergerak dari Pulau Talang Talang untuk balik semula ke jeti di mana jarak antara mereka berdua ketika itu lebih kurang 1 batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Seramai lebih 50 anggota pasukan keselamatan dikerahkan dalam operasi SAR antaranya Bomba, Polis, Polis Marin, Maritim, Sarawak Coastguard, dan unit udara. - Foto JBPM Sarawak

Maklumat dari pusat gerakan juga memberitahu sepanjang ujian jet ski dijalankan cuaca dalam keadaan baik.

“Ini mendorong mangsa dan rakannya meneruskan perjalanan mereka ke Pulau Talang-Talang, lebih kurang 3 batu nautika ke arah utara, dari Telok Melano,” katanya.

Pusat operasi telahpun dibuka di Waterfront Sematan, bagi mengumpul maklumat berkaitan perihal kejadian.

Seramai lebih 50 anggota pasukan keselamatan dikerahkan dalam operasi SAR antaranya Bomba, Polis, Polis Marin, Maritim, Sarawak Coastguard, dan unit udara.