Operasi sekolah bersemuka dilaksana dengan baik, teratur ikut SOP - Radzi

Bernama
Oktober 12, 2021 15:34 MYT
Pengoperasian sekolah menerusi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka ketika ini dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur, mengikut garis panduan dan SOP yang ditetapkan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengoperasian sekolah menerusi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka ketika ini dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur, mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin menerusi Facebook rasmi beliau hari ini berkata secara keseluruhan, hampir 300,000 murid telah hadir bagi PdP bersemuka pada minggu pertama pembukaan sekolah di negeri Fasa Dua, Tiga dan Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Okt lepas.
Bagaimanapun, katanya bagi negeri Johor dan Kedah, sesi persekolahan secara bersemuka hanya bermula pada 10 Okt, mengikut ketetapan bagi negeri yang terlibat dengan peralihan fasa PPN.
"Terima kasih kepada semua pihak, khususnya ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama, serta guru yang telah bertungkus lumus membuat persiapan.
"Semoga usaha untuk merapatkan kembali anak-anak dengan sistem persekolahan secara bersemuka ini dipermudah dan sesi dapat terus berlangsung dengan teratur dan selamat," katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Radzi menghadiri Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi memaklumkan status pembukaan sekolah secara bersemuka mulai 3 Okt.
-- BERNAMA
#Pembelajaran dan Pengajaran #PdP bersemuka #prosedur operasi standard #SOP #Menteri Kanan Pendidikan #Radzi Jidin