KUALA LUMPUR: Wisma Putra memaklumka pihak operator Everest akan berusaha membawa turun jenazah pendaki program Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub dari kem 4 untuk pulang ke tanah air.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan usaha membawa turun jenazah menggunakan helikopter dan akan mengambil masa beberapa hari berikutan keadaan angin di Gunung Everest tidak menentu ketika ini.

"Pihak mission atau kedutaan kita dimaklumkan bahawa pihak operator bertanggungjawab berusaha akan membawa turun jenazah Allahyarham dari kem 4 ke bawah dan ke Kathmandu, difahamkan usaha membawa turun ini juga mengambil masa sedikit lebih kurang beberapa hari. Kita dimaklumkan bahawa keadaan angin di Everest itu tidak menentu pada waktu ini.

"Jadi ini akan menyukarkan sedikit operasi membawa turun jenazah. Walaubagaimanapun pihak kedutaan akan terus memantau dan akan membantu pihak yang terlibat sedaya upaya kita untuk memastikan jenazah dapat dibawa turun dibawa ke Kathmandu dan seterusnya dibawa balik ke tanah air dan terus ke kampung halaman beliau," katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, beliau memaklumkan operasi pencarian seorang lagi pendaki orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang dipercayai hilang selepas berjaya turun ke kem 4 pada Khamis juga giat dijalankan.

Pihak kedutaan Malaysia di Kathmandu turut memohon agar seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar dua operasi ini berjalan dengan baik dan lancar.

"Saya bagi pihak warga Wisma Putra ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga bersabar dengan ujian ini dan sama-sama kita berdoa semoga operasi membawa turun jenazah dan membawa balik berjalan dengan mudah. Insha Allah," katanya.