MALAYSIA
Ops Gasak: KPDN tumpu penguatkuasaan penyelewengan LPG di kantin - Fuziah

Fuziah berkata KPDN memandang serius isu penyelewengan itu dan tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) terus dipergiat. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan terhadap penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di premis makanan khususnya kantin, yang dikenal pasti antara lokasi utama berlaku ketirisan.
Ringkasan AI
- Fokus Ops Gasak di kantin makanan: KPDN memberi keutamaan kepada penguatkuasaan terhadap kantin yang menyeleweng LPG bersubsidi dengan memindahkannya ke tong tidak bersubsidi demi keuntungan.
- Sindiket guna modus operandi pemborong palsu: Beberapa kes dikenal pasti melibatkan pihak yang berselindung di sebalik operasi pemborong LPG untuk membekalkan gas bersubsidi secara tidak sah kepada industri.
- Gerakan nasional perangi ketirisan subsidi: Ops Gasak yang digerakkan sejak Mei 2024, dan kini dijalankan seluruh negara kecuali Sarawak, bertujuan memastikan LPG bersubsidi hanya digunakan oleh isi rumah dan peniaga mikro.
"Kita dapati sindiket mengambil tong LPG bersubsidi dan kemudian memindahkannya ke dalam tong gas tidak bersubsidi. LPG 14 kilogram (kg) bersubsidi berharga RM26.60 satu tong manakala 14 kg tanpa subsidi berharga RM70.
"Perbezaan harga yang ketara ini menunjukkan keuntungan besar diperoleh sekiranya gas bersubsidi dipindahkan ke tong tidak bersubsidi dan inilah antara bentuk ketirisan subsidi yang sedang diperangi secara besar-besaran oleh pihak berkuasa," katanya dalam temu bual baru-baru ini.
Beliau mengambil contoh kes berlaku di Johor baru-baru ini apabila KPDN mengesan kegiatan penyelewengan di sebuah kantin yang berselindung di sebalik operasi pemborong LPG, namun pada masa sama terlibat dalam penyelewengan penggunaan tos gas bersubsidi di kantin.
"Pihak terbabit sudah diberkas dan tindakan tegas diambil berpandukan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Fuziah berkata pada masa ini, Ops Gasak dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak kerana negeri itu mempunyai ordinan sendiri dan penguatkuasaan LPG berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata Ops Gasak turut memastikan LPG bersubsidi hanya digunakan oleh isi rumah dan peniaga mikro selaras dengan sasaran subsidi kerajaan.
"Dari segi undang-undang tiada kecacatan, namun berlaku salah guna oleh pemborong yang membekalkan LPG bersubsidi kepada pihak tidak layak seperti industri. Maka, dalam kes ini besar kemungkinan pemborong yang melakukan kesalahan terbabit perlu bertanggungjawab.
"Kita mempunyai peraturan yang mencukupi untuk melindungi subsidi ini, namun masih ada pihak yang menyalahgunakannya," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini dilaporkan berkata kementerian berkenaan melaksanakan Ops Gasak sejak 1 Mei lepas bagi mengekang ketirisan dan penyelewengan tong LPG bersubsidi terhadap sektor industri dan komersial.
Operasi yang dilaksanakan hingga 31 Okt itu adalah inisiatif penguatkuasaan terkini yang dilancarkan di bawah Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) yang dilancarkan pada 19 Okt 2024.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami