MALAYSIA

Ops Gasak: Pembekalan LPG kepada pelanggan sedia ada masih dibenarkan - KPDN

Khalis Khadir 30/05/2025 | 13:12 MYT
Menurut Azman, ini selaras dengan usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi tanpa menjejaskan kelangsungan operasi peniaga kecil. - Foto arkib
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membenarkan pembekal gas petroleum cecair (LPG) untuk terus membuat penghantaran tong bersubsidi kepada pelanggan sedia ada.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, ini termasuk kepada peniaga makanan dan minuman, walaupun mereka belum memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).

Keputusan itu berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan Ops Gasak yang bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi tanpa menjejaskan kelangsungan operasi peniaga kecil.

“Pendekatan ini memberi ruang advokasi dan pemakluman kepada peniaga berhubung syarat permohonan permit di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Namun, peniaga yang menggunakan lebih 42 kilogram LPG dinasihat segera memohon PBKB menerusi sistem BLESS 2.0 atau berhubung dengan pejabat KPDN.

Ops Gasak fokus membanteras aktiviti pemindahan lpg dari tong bersubsidi ke tong tidak bersubsidi untuk tujuan jualan komersial dan penyeludupan serta penggunaan LPG bersubsidi oleh industri sederhana dan besar.


#Ops Gasak #kpdn #LPG #gas petroleum cecair