IPOH: Hanya 15 peratus atau empat premis yang mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dalam Operasi Gempur (Ops Gempur) Pra Raya yang dijalankan di kawasan perusahaan sekitar Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata daripada jumlah itu, 85 peratus atau 22 premis didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Mohd Akmal berkata, Ops Gempur itu dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak bersempena Hari Bumi Tahun 2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lalu.

"Tumpuan operasi kali ini ialah di kawasan perusahaan Puncak Jelapang Maju, kawasan perindustrian Ringan Jelapang dan Meru.

"Objektif ia dilaksanakan ialah bagi memastikan semua jenis industri mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mencegah berlaku pencemaran alam sekitar serta tindakan bersepadu dengan mengoptimumkan sumber sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Gempur Pra Raya di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Cheah Pou Hian.

Beliau menambah operasi itu dilaksanakan secara bersepadu membabitkan 10 pasukan penguatkuasaan dengan kekuatan anggota penguat kuasa JAS seramai 32 orang.

"Operasi di Jelapang ini juga susulan aduan yang diterima oleh pejabat Exco dan JAS berhubung pencemaran bau dari penduduk sekitar.

"Fokus utama diberikan kepada premis yang menghasilkan punca pencemaran utama iaitu udara, effluen dan buangan terjadual. Selain mengemas kini rekod inventori premis tersebut," katanya lagi.

Dalam pada itu, Rosli berkata bilangan premis atau kilang yang diperiksa ialah sebanyak 26 buah.

Selain itu 27 arahan di lapangan, 22 notis arahan dan 62 kompaun dikeluarkan.

Dua kertas siasatan turut dibuka.

"Maksimum bagi satu kompaun ialah RM2,000, jadi kalau 62 kompaun kira-kira RM124,000. Kompaun belum dikeluarkan lagi sebab ia perlu kepada bukti sokongan yang lain.

"Biasanya kita tidak akan kompromi daripada segi kesalahan, kita lihat sejauh mana tindakan pembetulan yang dilaksanakan oleh mereka (pemilik premis/kilang) dan aspek keseriusan kesalahan," katanya.

Ujarnya lagi, Ops Gempur akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan memberi mesej kepada semua pihak.