MALAYSIA
Ops Kesan 4.0: KPDN Johor periksa 48 premis

Lilis Saslinda (tengah), bercakap kepada pemberita selepas pelaksanaan Ops Kesan 4.0 bagi menangani isu pencatutan di sebuah pasar raya di Johor, hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Sebanyak 48 premis melibatkan 235 unit simpanan stok (SKU) telah diperiksa Kementeri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 4.0 pada 1 hingga 21 Julai lepas.
Ringkasan AI
- KPDN Johor menjalankan Ops Kesan 4.0 dengan memeriksa 48 premis melibatkan 235 SKU, bagi memantau kesan pelaksanaan SST dan mencegah pencatutan.
- Empat aduan sedang disiasat, dan sebanyak 48 Notis Pengesanan Maklumat Barangan telah dikeluarkan. Peniaga dinasihati menyemak elemen berkaitan SST sebelum ubah harga.
- Individu dan syarikat yang terbabit dalam pencatutan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau RM500,000 dan penjara maksimum tiga tahun. Aduan awam boleh disalurkan melalui pelbagai saluran KPDN.
Beliau berkata Ops Kesan 4.0 dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bagi memastikan tiada kenaikan harga tidak munasabah selain menghalang pencatutan berselindung di sebalik pelaksanaan SST.
Beliau berkata setakat 21 Julai, pihaknya sedang menyiasat empat aduan berkaitan Ops Kesan 4.0 membabitkan dua bengkel kenderaan, sebuah kedai runcit dan pas parkir kenderaan.
Lilis Saslinda berkata pemantauan dan penguatkuasaan tertumpu kepada empat elemen utama iaitu senarai barangan dan perkhidmatan tertakluk kepada SST, senarai perniagaan serta syarikat berdaftar melebihi nilai ambang, tempoh pelaksanaan dasar berkaitan SST serta margin keuntungan selaras dengan undang-undang.
"Oleh itu, semua peniaga dan syarikat dinasihati meneliti kesemua elemen ini sebelum membuat sebarang pelarasan harga atau caj perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata pemantauan berterusan dilakukan Pegawai Penguat Kuasa dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN di seluruh negeri dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang melanggar peruntukan undang-undang.
"Individu yang disabitkan kesalahan pencatutan boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya. Bagi syarikat, denda hingga RM500,000 boleh dikenakan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai kenaikan harga tidak munasabah diminta menyalurkannya melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (03-8882 6245/6088), WhatsApp (012-665 4292), e-mel [email protected], talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.
Terdahulu, Lilis Saslinda bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) Johor Mohd Fuzi Hadi Abd Latif meninjau harga barangan di sebuah pasar raya di Larkin Junction, hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami