MALAYSIA

Ops Nature: SPRM beku 16 akaun bank berjumlah RM10.2 juta, sita wang tunai dan barang kemas

Bernama 26/01/2026 | 15:55 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 16 akaun bank melibatkan nilai RM10.2 juta dan menyita wang tunai berjumlah RM87,000 dalam siasatan Ops Nature di Selangor dan Negeri Sembilan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 16 akaun bank melibatkan nilai RM10.2 juta dan menyita wang tunai berjumlah RM87,000 dalam siasatan Ops Nature di Selangor dan Negeri Sembilan.


Ringkasan AI
  • SPRM membekukan 16 akaun bank bernilai RM10.2 juta dan menyita RM87,000 tunai dalam Ops Nature di Selangor dan Negeri Sembilan.
  • Sumber mengesahkan siasatan melibatkan disita barang bernilai RM220,000 termasuk kereta dan barang kemas.
  • Reman pengarah syarikat yang disiasat diperpanjang serta empat individu termasuk pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar ditahan berhubung kes melindungi kilang e-sisa.


Menurut sumber, barang kes bernilai RM220,000 termasuk kereta dan barang kemas turut disita dalam operasi berkenaan.

Sehubungan itu, reman ke atas seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM telah disambung mulai hari ini hingga 30 Jan.

"Sementara itu, SPRM Negeri Sembilan juga telah mendapatkan perintah tahanan reman ke atas empat individu, termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan pada Selasa lepas (20 Jan) hingga hari ini (26 Jan)," katanya.

Sumber turut memaklumkan penangkapan dan reman terhadap pengarah syarikat dan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana disyaki melindungi kilang-kilang memproses sisa elektronik (e-sisa) dan juga pembuangan barangan berjadual tanpa melalui proses ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lanjut selepas ini.

Ops Nature dijalankan secara serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di dua lokasi, iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pada 20 Jan lepas.

-- BERNAMA

#Ops Nature #SPRM #beku akaun bank #sita wang tunai