PUTRAJAYA: Seramai 23 anggota dan pegawai kastam akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, di enam mahkamah sesyen di seluruh negara sehingga 6 Jun ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat ini dua pegawai kastam telah dituduh di mahkamah selepas ditahan menerusi Op Samba 2.0.

Menurut kenyataan itu, operasi itu yang dilaksanakan bermula 11 Mac dan berakhir 25 Mac lepas menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akhirnya telah berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

"Ini merupakan satu kerugian hasil negara yang amat besar dan memberi impak negatif berterusan kepada ekonomi negara sekiranya tidak dibendung," menurut SPRM.

Dalam operasi itu, SPRM telah menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu serta pemilik syarikat dan hasil siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.

Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM turut merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit.

SPRM juga telah membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan 'akaun keldai' yang berkait dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan melibatkan kira-kira RM18 juta.

Op Samba 2.0 merupakan operasi diketuai SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memerangi aktiviti rasuah pegawai agensi penguatkuasaan yang melindungi aktiviti penyeludupan sejak 2017 hingga kini.

-- BERNAMA