Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Ops Tiris: KPDN Pahang rampas diesel, petrol bernilai lebih RM745,000 sejak Januari

51759752195_JezlilyJamaluddin.jpg
Jezlily berkata rampasan dilakukan hasil 826 pemeriksaan dijalankan dengan rampasan terbesar melibatkan 59,000 liter diesel bernilai lebih RM355,000 pada bulan lepas di sini. - Gambar fail

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merampas 144,212 liter diesel dan petrol bernilai lebih RM745,000 menerusi Ops Tiris dalam tempoh lima bulan bermula Januari lepas. 

Pengarahnya Jezlily Jamaluddin berkata rampasan dilakukan hasil 826 pemeriksaan dijalankan dengan rampasan terbesar melibatkan 59,000 liter diesel bernilai lebih RM355,000 pada bulan lepas di sini. 

“Pelaksanaan Ops Tiris telah memberikan impak positif terhadap pengurusan dan pengagihan diesel bersubsidi di negeri ini di samping mengekang aktiviti penyelewengan dan ketirisan yang boleh menjejaskan bekalan dalam pasaran domestik,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata Kuantan antara daerah yang merekodkan bilangan kes tertinggi penyelewengan barang kawalan itu berkemungkinan disebabkan oleh keadaan geografi dan lokasi strategik kerana mempunyai pelabuhan utama serta kawasan industri serta perkilangan yang besar.

“Kepadatan premis dan aktiviti perniagaan yang tinggi menyebabkan bilangan stesen minyak, premis penyimpanan serta pusat pengedaran produk petroleum lebih banyak berbanding daerah lain turut menjadi antara faktor,” katanya. 

Jezlily berkata modus operandi pihak terlibat ialah menggunakan kenderaan yang diubah suai untuk mengangkut atau menyimpan bahan api dalam kuantiti yang lebih besar daripada kapasiti asal.

Beliau berkata ada juga yang melakukan pembelian berulang di beberapa stesen minyak bagi mengelak pengesanan, menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bekalan bahan api bersubsidi secara tidak sah serta menjadikan premis atau kawasan terpencil sebagai stor simpanan bagi menyembunyikan aktiviti penyelewengan. 

“Terdapat juga kes penyalahgunaan kemudahan subsidi diesel bersasar yang diperuntukkan kepada sektor tertentu seperti pertanian, perikanan dan pengangkutan, namun diesel tersebut digunakan untuk tujuan lain,” katanya. 

Meskipun berhadapan cabaran dalam melaksanakan Ops Tiris seperti kekurangan maklumat risikan yang tepat kerana aktiviti penyelewengan diesel sering dilakukan secara tertutup dan berpindah randah, beliau berkata pihaknya sering bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain.

“Kerjasama ini dilaksanakan melalui perkongsian risikan, operasi bersepadu, pemantauan rantaian pengedaran, pemeriksaan premis dan stor simpanan, serta pemantauan kenderaan di laluan berisiko tinggi termasuk kawasan sempadan dan pelabuhan,” katanya. 

Beliau berkata KPDN Pahang sentiasa menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa tempatan bagi membanteras ketirisan dan penyelewengan subsidi diesel serta barangan kawalan. 

Jezlily berkata berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan pihaknya, bekalan diesel bersubsidi di Pahang secara keseluruhannya setakat ini adalah mencukupi dan stabil bagi memenuhi keperluan pengguna.

Meskipun terdapat beberapa kes gangguan bekalan di stesen minyak tertentu dari semasa ke semasa, gangguan tersebut bersifat sementara dan kebiasaannya dapat dipulihkan dalam tempoh yang singkat serta tidak melebihi 24 jam.

KPDN katanya akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan melalui Ops Tiris bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi tidak disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab, sentiasa terjamin, sampai kepada kumpulan sasar serta menyokong kestabilan bekalan bahan api di Pahang. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement