Skip to main content

Malaysia

Opsyen pengecualian LINDUNG 24 Jam dibuka mulai Isnin - PERKESO

LINDUNG 24 JAM TB
PERKESO akan terus mempergiat usaha penyampaian maklumat yang jelas dan tepat bagi memastikan setiap pekerja memahami manfaat LINDUNG 24 jam supaya mereka memilih keputusan terbaik. - Gambar PERKESO
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuka opsyen pengecualian Skim LINDUNG 24 Jam mulai Isnin ini, susulan keputusan kerajaan menjadikan pelaksanaan skim itu secara sukarela.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pencarum yang memilih untuk keluar daripada skim berkenaan perlu mengisi Borang Perakuan Pelepasan Liabiliti bagi mengesahkan keputusan mereka.

Menurutnya, perakuan itu diperlukan bagi memastikan keputusan pencarum direkodkan secara jelas, selain mengelakkan PERKESO atau majikan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kemalangan atau kematian kelak.

“Sesiapa yang ingin keluar daripada skim ini perlu mengisi borang yang kita anggap sebagai Perakuan Pelepasan Liabiliti.

“Sebab kita tidak mahu selepas ini jika berlaku kemalangan kematian, tindakan diambil kepada PERKESO ataupun kepada majikan di mana sebenarnya mereka layak untuk mendapat perlindungan tetapi jika mereka memilih untuk tidak.

“Jadi bila ada Perakuan Pelepasan Liabiliti ini, PERKESO atau majikan tidak akan bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media khas berkaitan LINDUNG 24 Jam di Menara PERKESO, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata PERKESO setakat ini menerima 27 tuntutan harian di bawah Skim LINDUNG 24 Jam, dengan hampir RM2 juta faedah sudah diagihkan kepada penerima. .

“Nampak sikit kononnya caruman yang kita terima banyak, bayaran sikit. Ini bayaran yang perlu dibayar secara terus contohnya rawatan hospital, pembelian implan pembedahan dan mungkin bayaran cuti sakit.

“Tetapi harus kita ingat bayaran jangka panjang yang akan dibayar selepas mereka tamat MC (cuti sakit) yang boleh mencecah jutaan ringgit,” tambahnya.

Jelasnya, caruman yang dikenakan pada kadar kecil berbanding premium perlindungan sedia ada di pasaran tidak sewajarnya dilihat sebagai beban, sebaliknya sebagai jaminan kehidupan keluarga sekiranya berlaku musibah yang tidak diduga.

PERKESO juga akan terus mempergiat usaha penyampaian maklumat yang jelas dan tepat bagi memastikan setiap pekerja memahami manfaat LINDUNG 24 jam supaya mereka memilih keputusan terbaik.

“Kalau anggota PERKESO mana-mana di luar sana melambatkan, salur maklumat terus kepada saya. Terus kepada Ketua Eksekutif, jangan hantar kepada Pengarah Negeri atau sebagainya, terus kepada saya.

“Kita tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang melengah-lengahkan. Sebab itu kita wujudkan Skuad Prihatin. Jadi kita nak pastikan berlaku saja kemalangan, serta merta dia dapat faedah pengurusan jenazah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan perubahan dasar LINDUNG 24 Jam memberi kesan terhadap kemampanan dana dan keberkesanan penyaluran faedah dalam jangka panjang.

Susulan itu, PERKESO akan menyemak semula mekanisme pelaksanaan skim berkenaan bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menjelang hujung tahun ini.

Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam tidak lagi diwajibkan, sebaliknya dibuat secara sukarela berkuat kuasa serta-merta. 

Pekerja yang tidak mahu menyertai LINDUNG 24 Jam boleh mengisi Borang Perakuan Pelepasan Liabiliti yang akan tersedia secara dalam talian di laman sesawang PERKESO mulai Isnin ini.

Selepas melengkapkan borang itu, mereka perlu memaklumkan keputusan berkenaan kepada bahagian sumber manusia di tempat kerja untuk tindakan lanjut.

Langkah itu bagi mengelakkan sebarang implikasi perundangan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sekiranya berlaku kemalangan kepada pencarum di luar waktu kerja, namun pencarum masih boleh menyertai semula skim berkenaan pada bila-bila masa jika diperlukan.

Must Watch Video

Advertisement