BIODIVERSITI secara mudahnya boleh diterjemahkan sebagai kepelbagaian biologi atau hidupan seperti flora, fauna, mikroorganisma dan lain-lain yang berada di persekitaran kita.

Malaysia merupakan sebuah negara yang dikategorikan sebagai titik panas kepelbagaian biologi (biodiversity hotspot) yang bukan hanya memiliki ribuan spesies tumbuhan dan haiwan, tetapi juga menghadapi tekanan kemerosotan sumber ini dengan kadar yang membimbangkan.

Penebangan hutan, pembukaan kawasan pembangunan yang baru, pencerobohan dan pemburuan haram semuanya menjadi faktor penyumbang kepada kemerosotan khazanah milik kita bersama ini.

Kepelbagaian biologi telah lama menjadi identiti ketamadunan manusia sejak zaman silam kerana kita sangat bergantung harap kepada kepelbagaian hidupan ini.

Masyarakat zaman moden yang semakin canggih dengan gajet dan teknologi tanpa sempadan tentunya sukar menggambarkan dan memahami kepentingan biodiversiti ini, melainkan mereka mempunyai peluang untuk berinteraksi dan belajar mengenai perkara ini.

Realiti yang berbeza pula dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di Malaysia. Orang Asli yang merupakan masyarakat minoriti yang masih mengamalkan cara hidup tradisional yang banyak dipengaruhi oleh alam sekitar dan amalan lama tinggalan nenek moyang mereka.

Di Semenanjung Malaysia, terdapat tiga kumpulan utama Orang Asli iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto yang mana perbezaan antara tiga kumpulan besar ini adalah berdasarkan rupa fizikal, bahasa dan adat yang diamalkan oleh setiap golongan.

Menjadi sebahagian dari budaya dan cara hidup Orang Asli untuk menggunakan sumber alam semulajadi di sekeliling mereka sebagai sumber makanan, ubat-ubatan, bahan binaan dan lain-lain, terutamanya masyarakat Orang Asli yang masih duduk di dalam kawasan hutan yang dilindungi seperti taman negara, hutan simpan dan lain-lain.

Umum perlu mengetahui bahawa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716), Jadual Keenam, Orang Asli dibenarkan untuk memburu sepuluh jenis haiwan sebagai sumber makanan mereka, termasuk babi hutan, rusa, pelanduk, landak raya, lotong celak dan lain-lain.

Kemerosotan biodiversiti yang berlaku di dalam kawasan lindungan amat sukar untuk dikenalpasti disebabkan faktor muka bumi, kos, jumlah pegawai yang mengawal dan lain-lain.

Langkah penyelesaian yang digunakan oleh sebahagian institusi, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan adalah dengan mendapatkan maklumat dan pertolongan komuniti Orang Asli mengenai pelan tindakan atau tinjauan biodiversiti di kawasan mereka.

Ini membuktikan komuniti Orang Asli telah memainkan peranan malah dengan bimbingan dan latihan, mereka boleh diberikan peranan yang lebih besar lagi. Antara saluran yang boleh digunakan ialah dengan membantu komuniti Orang Asli yang masih hidup di kawasan lindungan terutamanya, ialah melatih mereka menjadi pemandu pelancong Alam Semulajadi berlesen di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Komuniti Orang Asli Jakun di Kampung Peta, Taman Negara Johor Endau Rompin, Johor misalnya melalui program pembangunan sosioekonomi menggunakan dana dari United Nation Development Program (UNDP) pada tahun 2018 telah diberikan latihan oleh Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Negeri Johor (JCNTGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Malaysia (Perhilitan), MOTAC, Tourism Johor dan lain-lain agensi untuk menjadi pemandu pelancong alam semulajadi berlesen di kawasan Taman Negara tersebut.

Rata-rata mereka memberikan maklum balas positif dan melihat peluang ini sebagai cara untuk mempelbagaikan sumber ekonomi mereka menggunakan pengetahuan mereka mengenai alam semulajadi di sekeliling mereka sendiri.

Namun dilema yang timbul disini ialah, adakah mereka akan boleh membantu usaha konservasi biodiversiti yang sebagai pemandu pelancong alam semualajadi? Sudah tentu jawapannya ya! Jika mereka boleh menggunakan alam semulajadi mereka sebagai sumber ekonomi mereka melalui aktiviti pelancongan, maka mereka akan menjadi benteng pelindung pertama untuk menjaga khazanah negara ini.

Mereka tidak akan memburu haiwan-haiwan terancam yang disenarai merah oleh badan antarabangsa seperti IUCN (International Union for Conservation of Nature), malah akan mempertahankan hidupan ini sebagai satu produk pelancongan unik di kawasan mereka.

Sebagai contoh, penulis telah dijemput untuk memberikan latihan pendidikan berterusan pelancongan (CTRE) kepada komuniti Orang Asli Jakun di Kg Peta pada 29 Mac 2019 yang lalu bagi tujuan pembaharuan lesen mereka.

Semasa latihan dijalankan, mereka telah didedahkan mengenai satu spesies primat yang terancam yang berada di kawasan mereka dan berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan.

Setelah mereka diberikan maklumat dan pendedahan mengenai primat ini, mereka telah sama-sama berikrar untuk sama-sama menjadi mata dan telinga bagi memastikan populasi primat terancam di kawasan mereka terus hidup tanpa gangguan, terutamanya dari pemburuan haram.

Pencapaian melalui program ini merupakan satu manifestasi keberkesanan ilmu dan kesedaran yang seharusnya kita sama-sama sumbangkan kepada komuniti Orang Asli, kerana hakikatnya mereka lebih mengetahui mengenai alam semulajadi di kawasan mereka, dan hendak atau tidak, sebarang pelan tindakan konservasi biodiversiti yang mengamalkan isolasi dan fragmentasi komuniti Orang Asli dari usaha ini, akan berhadapan dengan kesukaran yang tinggi.

Malah, jika model ini berjaya diperkasakan dengan iltizam yang tinggi oleh semua agensi bagi semua masyarakat Orang Asli di kawasan lindungan, ia bukan hanya mampu menaiktaraf kedudukan ekonomi mereka, malah dalam masa yang sama memastikan kelangsungan dan usaha pemuliharaan konservasi biodiversiti kekal relevan bagi masa hadapan.


*Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar ialah Penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

***Beliau juga merupakan Ketua Projek Geran Pemindahan Ilmu dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang memfokuskan pemindahan ilmu kepelbagaian alam semulajadi kepada pemandu pelancong di Negeri Johor

**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI