GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di beberapa perkampungan di sini termasuk Pos Balar, Pos Tohoi dan Pos Gob merayu agar tiada lagi konvoi dan aktiviti sukan lasak kenderaan pacuan empat roda (4WD) di kawasan mereka menjelang musim tengkujuh ini.

Radi Uda, 51, dari Kampung Kajang berkata penduduk mengalami kesukaran walaupun hanya bermotosikal untuk keluar masuk berikutan jalan rosak teruk akibat dilalui kenderaan tersebut.

"Jalan kami kini bermasalah, kalau orang kampung sahaja yang guna tidak jadi (rosak) macam ini. Bila mereka (4WD) masuk untuk main (sukan lasak) kami orang kampung yang terseksa.

"Bayangkan sahaja, dari kampung ini untuk keluar ke bandar Gua Musang memerlukan masa hampir 12 jam, kalau keluar pukul 8 pagi tujuh petang baru sampai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Radi dia pernah mengambil masa lebih tiga jam untuk mendaki jalan tanah merah serta berbukit yang jaraknya hanya 100 meter dengan motosikal kerana jalan rosak teruk akibat hujan serta dilalui banyak kenderaan sukan lasak.

Osman Anjang, 46, dari Pos Balar pula berkata aktiviti yang dilakukan peminat sukan lasak tersebut hanya mendatangkan kesusahan kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman untuk melakukan urusan harian.

"Orang luar janganlah bersikap pentingkan diri, mereka seronok bermain kereta macam itu sedangkan kami di sini berdepan dengan risiko terutama sekiranya berlaku situasi kecemasan," katanya.

Seorang lagi penduduk, John Busu, 36, mendakwa sejak September lepas, sudah lebih lima kali dia terserempak dengan kenderaan 4WD yang menggunakan jalan di kawasan kampungnya bagi aktiviti sukan lasak.

Katanya aktiviti seumpama itu tidak sepatutnya berlangsung di situ kerana itu sahaja laluan yang penduduk kampung ada untuk keluar masuk membeli barangan keperluan seperti susu, beras dan sebagainya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu dalam kenyataannya memaklumkan penutupan sementara jalan ke Pos Gob bagi melancarkan kerja-kerja membaiki jalan serta pembinaan jambatan yang membabitkan penggunaan beberapa jentera berat.

Menurut kenyataan itu hanya pengguna motosikal serta 4WD bagi kes kecemasan sahaja dibenarkan melalui jajaran jalan itu yang ditutup buat sementar bermula dari simpang Pos Simpor sehingga ke Pos Gob.

--BERNAMA