GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli di Pos Bihai, di sini, menyuarakan rasa bimbang kerana mendakwa kesan-kesan kemunculan harimau masih jelas dapat dilihat di sekitar kawasan penempatan berkenaan, sejak kehadiran haiwan itu mula dikesan sekitar Jun lepas.

Penduduk Kampung Tendrik Apek Asud, 39, berkata terbaharu beberapa tapak harimau ditemukan berhampiran rumah penduduk kampung itu, semalam.

"Boleh dikatakan hampir setiap malam haiwan liar itu akan berkeliaran di kawasan perkampungan kami. Pagi esoknya pasti akan ada kesan tapak kaki di sekitar kawasan rumah, dan ada juga anjing yang mati akibat serangan haiwan liar itu.

"Bila waktu malam, ada terdengar bunyi salakan anjing tetapi kami takut untuk keluar dan lihat apa yang berlaku. Jadi kami lebih banyak berkurung di rumah dan hanya ke hutan secara berkumpulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya susulan itu penduduk suku kaum Temiar di penempatan itu sering dibelenggu rasa takut untuk keluar rumah bagi melakukan aktiviti harian.

"Sebenarnya sejak tiga bulan lepas harimau belang dikesan berkeliaran sekitar sini. Penduduk mengesan tapak kaki haiwan itu di sekitar Kampung Tendrik, Kampung Sau, Kampung Hak, Kampung Badak dan Kampung Bihai Lama sejak Jun lalu," katanya.

Penghulu Kampung Tendrik Alang Segan, 50, berkata beberapa penduduk telah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kemunculan haiwan itu.

"Perhilitan telah pun datang dan buat pemantauan di kawasan kampung kami. Kami berharap sangat harimau itu dapat ditangkap dan dipindahkan," katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak Perhilitan, kerana penduduk kini jelas takut untuk keluar bekerja.

"Pos Bihai ini merupakan kawasan banyak harimau.... justeru saya mohon pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak, dapat melihat betapa kritikalnya permasalahan krisis haiwan liar dengan manusia ini," katanya.

-- BERNAMA