MALAYSIA
Orang Asli suku Semai kuasai seni tenun Pahang Diraja

Mengkhusus dalam penghasilan samping, Noor Seshida kini mampu menyiapkan dua helai sebulan, bergantung pada kerumitan corak dan jumlah permintaan. - Gambar Bernama
LIPIS: Melihat helaian kain tenun yang dihasilkannya, wanita Orang Asli suku Semai, Noor Seshida Hamid tidak menyangka dirinya kini mampu menguasai seni tenun Pahang Diraja yang kaya dengan nilai estetika dan warisan.
Lebih mengagumkan, Noor Seshida, 29, yang pada mulanya tidak berminat mempelajari seni tekstil itu, hampir berputus asa ketika mengikuti latihan di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam di Pekan kerana berasakan ia terlalu rumit.
Namun, berkat usaha gigih dan sokongan keluarga serta tenaga pengajar, beliau kini berjaya menjadi antara penenun tetap mewakili komuniti Orang Asli yang turut menyumbang dalam usaha memartabatkan tenunan warisan negeri Pahang.
Mengkhusus dalam penghasilan samping, Noor Seshida kini mampu menyiapkan dua helai sebulan, bergantung pada kerumitan corak dan jumlah permintaan."Cabaran utama ialah benang yang sering terputus serta kesilapan pada corak. Kalau tersilap, kena buka semula dan betulkan," katanya yang berhasrat untuk terus mendalami ilmu tenun sekiranya berpeluang.
Selain Noor Seshida, seorang lagi rakan sekampung, Naera Bah Du, 31, turut menunjukkan komitmen tinggi untuk menguasai seni halus itu walaupun pernah berhasrat berhenti semasa mengikuti latihan di IKTPD.
"Bila ramai berhenti, saya pun terfikir nak berhenti juga. Tapi saya ingatkan diri, kami kumpulan Orang Asli pertama dari kampung ini yang belajar tenun. Saya nak buktikan kami pun boleh buat," katanya.
Menurut Naera, antara proses paling mencabar ialah menghubung benang yang dilihat mudah secara mata kasar, namun sebenarnya memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.
Kini, kedua-dua wanita itu berkhidmat sebagai penenun tetap di Pusat Tenun Pahang Diraja Pos Betau, yang beroperasi di bawah syarikat Cheminahsayang, diasaskan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pusat itu ditubuhkan pada 2023 sebagai inisiatif memperkasa seni tenun dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti Orang Asli.
Penyelia pusat berkenaan Nurhasanah Norrahani, 34, berkata pusat itu bukan sekadar tempat penghasilan tekstil tradisional, malah turut menjadi lokasi pendidikan kepada pelancong dan orang ramai untuk mengenali proses pembuatan kain tenun.
"Kami dapati masih ramai yang keliru dan menyangka produk kami hanyalah kain pelekat atau kraf tangan biasa. Jadi kami tunjukkan keseluruhan proses tenunan bermula dari benang hingga menjadi kain.
"Apabila pelancong datang, kami tunjukkan setiap proses satu persatu. Mereka boleh melihat sendiri sambil kami beri penerangan agar mereka lebih faham dan menghargai warisan ini," katanya.
Fokus utama pusat itu ialah menghasilkan tiga jenis kain tenun Pahang Diraja iaitu kain pasang, kain kemeja dan kain untuk samping sebelum dihantar ke Pekan untuk dipasarkan.
"Mereka hanya hasilkan kain, bukan pakaian siap. Daripada benang, kami proses hingga menjadi kain," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami