KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) menyeru orang awam menjadi 'mata dan telinga' dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan mencuri kabel tembaga milik syarikat telekomunikasi itu yang semakin berleluasa, sejak kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Rangkaian TM, Mohamed Tajul Mohamed Sultan berkata, usaha menangani jenayah ini tidak dapat dilakukan tanpa bantuan daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat umum.

"Setiap maklumat dan tip-tip yang diberikan ini akan mempercepatkan tindak balas sekali gus meminimumkan kesulitan seterusnya membantu kami mengekang jenayah ini.

"Kami berharap agar kerjasama dan komitmen ini akan terus berlanjutan bagi memastikan keselamatan kabel terjaga seterusnya mengurangkan kadar jenayah itu," katanya kepada Bernama.

Lebih menarik, katanya, TM masih menawarkan insentif bernilai RM1,000 kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek yang mencuri kabel berkenaan.

"Jadi, sekiranya orang awam menemui individu yang kelihatan mencurigakan atau sebarang aktiviti serupa berlaku berhampiran peralatan atau kemudahan rangkaian TM, segera laporkan kepada TM atau polis dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan TM di 100 atau talian kecemasan 999.

"Kami mahu memberikan perkhidmatan digital terbaik kepada semua rakyat, namun, sekiranya aktiviti jenayah ini masih lagi berleluasa, ia mungkin akan membantutkan usaha ini," katanya.

Selain kerugian peralatan, aktiviti jenayah ini turut menyebabkan gangguan bekalan kuasa sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan.

"Apabila kabel telekomunikasi di kawasan tertentu dicuri atau dimusnahkan, masyarakat setempat tidak dapat menikmati perkhidmatan telekomunikasi dan mengakses internet. Ini pastinya menjejaskan rutin harian mereka dan membawa kepada implikasi lain selain boleh menjejaskan aktiviti perniagaan dan ekonomi," katanya.

Tahun lepas, sebanyak 2,300 kes kecurian kabel tembaga TM dilaporkan di seluruh negara dengan 14 kes berjaya diselesaikan.

"Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 694 diikuti Johor (658), Perak (222) dan Kedah/Perlis dengan 197 kes.

"Keadaan ini disebabkan permintaan, penawaran dan harga logam yang tinggi sekali gus menarik minat ramai orang untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut," katanya.

Bagaimanapun, TM sentiasa melipatgandakan usaha dalam membanteras aktiviti jenayah ini termasuklah mengadaptasi teknologi canggih dengan membuat pemasangan atau penempatan semula sistem pemantauan rangkaian dan penggera elektronik iaitu I-Watch di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi merah yang kerap berlaku kes kecurian kabel itu.

Sistem I-Watch yang diperkenalkan sejak tahun 2010, disambung terus ke pusat kawalan tempatan untuk memberi amaran segera kepada kakitangan TM yang bertanggungjawab melalui sistem pesanan ringkas (SMS) sebaik sahaja ia mengesan sebarang percubaan untuk mencuri atau memotong kabel itu.

"Ia berfungsi sebagai sistem penggera amaran kecurian kabel jarak jauh yang membantu pihak TM memantau dan mengesan bukan sahaja kawasan atau lokasi isyarat kecurian kabel berlaku tetapi juga jarak kabel telefon yang dipotong.

"Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan setiap fasiliti dan infrastruktur rangkaian perkhidmatan telekomunikasi negara berada dalam keadaan terbaik bagi manfaat semua," katanya sambil menambah sistem itu membantu menurunkan kes kecurian kabel tembaga sehingga 60 peratus dalam tempoh dua tahun ini.

-- BERNAMA