Skip to main content

Malaysia

"Orang baik macam Loke, buat apa nak berhenti?" - PM Anwar

Anwar hadir pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya, hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Anwar hadir pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya, hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Advertisement

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan Anthony Loke dan mempersoalkan tindakan beliau menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
  • Anwar memuji inisiatif Loke menggunakan hasil jualan nombor pendaftaran khas untuk membantu pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.
  • Bantuan khas kewangan RM1,000 secara sekali bayar diberikan kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah seluruh negara.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang sebelum ini menawarkan untuk meletakkan jawatan, sambil menegaskan pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dengan baik perlu dipertahankan.

Anwar berkata demikian ketika memuji inisiatif Loke yang mencadangkan penggunaan hasil jualan nombor pendaftaran khas bagi membantu pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.

"Ini bukanlah saya nak puji sebab beliau ada di sini. Pasal apa orang baik macam ini dia nak berhenti? 

“Yang nak berhenti orang yang rasuahlah. Orang baik ini kita nak pertahan. Orang ini yang penting dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, negara memerlukan pemimpin yang prihatin terhadap nasib rakyat dan bukan sekadar bijak berpolitik atau mengeluarkan kenyataan.

Katanya, meskipun tidak semua masalah rakyat dapat diselesaikan dalam masa singkat, kesungguhan dan niat baik seseorang pemimpin perlu diberikan perhatian.

"Kita hendak pilih menteri atau pemimpin yang prihatin tentang nasib orang. Selesai semua masalah satu hari memang tak bolehm tetapi kena ada niat yang baik," katanya.

Terdahulu, Anwar turut menghargai pendekatan Loke yang mendengar keluhan pemandu teksi, khususnya dalam menghadapi persaingan daripada perkhidmatan e-panggilan.

Pada majlis sama, Perdana Menteri melancarkan bantuan khas kewangan RM1,000 secara sekali bayar kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.

Bantuan itu menggunakan sebahagian hasil jualan nombor pendaftaran khas siri H yang mencatatkan kutipan sebanyak RM91.2 juta.

Terdahulu, pada 19 September lalu, Loke mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebagai tanda bantahan parti terhadap kebenaran Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Pada 28 September, Loke menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Anwar, namun diminta meneruskan tugas sebagai Menteri Pengangkutan buat sementara waktu.

Loke kemudian menjelaskan peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa apabila Najib dibebaskan dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.



 

Must Watch Video

Advertisement