KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyertai lambaian kasih bersempena dengan Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata orang ramai boleh menyertai acara itu yang diadakan di sepanjang laluan Jalan Parlimen sehingga arah Bulatan Dato Onn.

Beliau berkata orang ramai boleh meletakkan kenderaan di sekitar Taman Botani, parkir bertingkat di Bukit Aman, Padang Merbok dan tempat letak kenderaan di Dataran Merdeka.

"Laluan Jalan Parlimen ke Bulatan Dato Onn akan ditutup sepenuhnya seawal 6 pagi untuk pergerakan masuk pasukan pelambai sebanyak 3,650 orang yang terdiri daripada petugas pelbagai kementerian.

"Orang awam yang ingin bersama-sama ke acara berkenaan perlu mematuhi arahan kawalan lalu lintas oleh pihak polis dan tidak menghalang laluan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Allaudeen berkata tujuh laluan di sekitar ibu negara akan terlibat dengan penutupan penuh, manakala 13 laluan akan ditutup secara berperingkat esok.

Sementara itu, Allaudeen berkata lima laluan di sekitar ibu negara akan ditutup sementara pada Rabu ini bersempena dengan Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17, yang akan diadakan di Istana Negara.

Beliau berkata laluan berkenaan membabitkan Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara dan Jalan Travers.

"Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang juga akan melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Sultan Abdul Halim. Laluan ini akan ditutup sementara dan dibuka semula secara berperingkat bermula 9.30 pagi," katanya.

Allaudeen berkata sebanyak 1,463 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang istiadat berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan dan lalu lintas terkawal.

Beliau berkata pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui jalan-jalan yang terbabit dengan penutupan penuh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menggantikan Al-Sultan Abdullah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan esok.

*Ikuti wawancara 'Lambaian Mahkota' yang akan disiarkan pada 30 Januari, Selasa bermula jam 8.30 malam di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.

*Siaran ulangan 'Lambaian Mahkota' akan disiarkan pada 1 Februari, Khamis bermula 6 pagi di saluran 501 dan di semua platform Astro AWANI.