Orang ramai dinasihatkan tidak muat turun aplikasi 'Pink WhatsApp'

Astro Awani
Jun 27, 2023 03:10 MYT
Orang ramai dinasihatkan berwaspada apabila menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi 'Pink WhatsApp'.
KUALA LUMPUR : Orang ramai dinasihatkan berwaspada apabila menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi 'Pink WhatsApp'.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam satu kenyataan menjelaskan, aplikasi tersebut kononnya menawarkan ciri keselamatan serta privasi yang lebih baik, antaramuka yang boleh diubah suai, serta keupayaan untuk menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan.
"Bagaimanapun, selepas pemasangan, aplikasi berkenaan boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan, yang boleh membawa kepada risiko keselamatan yang serius.
"Para pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu tersebut.
"MCMC menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi 'Pink WhatsApp' tersebut, dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar mereka," jelasnya.
MCMC turut mengesyorkan pengguna untuk hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
Pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan.
Para pengguna adalah disarankan untuk kekal berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dengan 'Pink WhatsApp' kepada portal Aduan MCMC atau talian hotline.
#MCMC #telefon pintar #Pink WhatsApp #muat turun