KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 bagi menentang berita palsu menindas kebebasan bersuara, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh menzahirkan kebimbangan terhadap definisi luas untuk ‘berita palsu’ yang bukan sahaja meliputi kandungan berkaitan COVID-19, bahkan juga berhubung Proklamasi Darurat.

“Secara asasnya hal ini memberikan kerajaan kuasa mutlak untuk mendefinisikan sebarang bentuk bahan sebagai ‘berita palsu’.

“Apa yang lebih merisaukan ialah, disebabkan ini merupakan Ordinan Darurat, pihak kerajaan, polis atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa tidak boleh dibawa ke mahkamah kerana melaksanakan peruntukan ordinan ini,” jelas Tricia dalam kenyataan media pada Jumaat.

Tambah Tricia: “Jelas tiada mandat demokrasi dalam penguatkuasaan Ordinan ini, menjadikannya lebih teruk daripada Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang telah dimansuhkan.”

Pada tahun 2019, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dimansuhkan selepas empat bulan diwartakan bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Menurut Tricia, penguatkuasaan ordinan ini hanya menambah kepada persepsi buruk terhadap Proklamasi Darurat serta melumpuhkan lagi proses demokrasi selepas penggantungan sidang Parlimen.

“Ordinan ini mengukuhkan lagi persepsi bahawa situasi darurat yang sedang dihadapi ini hanyalah satu tabir untuk mengekang sebarang bentuk kritikan terhadap kerajaan pemerintah.

“Harus diakui bahawa banyak pihak telah memberikan kritikan membina disebabkan mereka khuatir akan keadaan negara dan mahukan penambahbaikan.

“Rakyat Malaysia tidak seharusnya berterusan dijadikan tebusan oleh ahli politik," ujar beliau lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam sidang media hari ini menegaskan bahawa pelaksanaan ordinan tersebut adalah bagi mempercepatkan proses penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan bagi mereka yang terbabit menghasilkan berita tidak benar.

BACA: Ordinan Darurat untuk cepatkan penguatkuasaan, siasatan, pendakwaan berita palsu - Saifuddin