Organisasi waris MH370 gesa Malaysia dedah radar ketenteraan

Astro Awani
Mac 7, 2021 09:53 MYT
Organisasi waris MH370 menggesa kerajaan Malaysia mendedahkan semua rekod radar ketenteraan berkaitan MH370 bermula dari 7 hingga 8 Mac 2014.
KUALA LUMPUR: Organisasi waris MH370 menggesa kerajaan Malaysia mendedahkan semua rekod radar ketenteraan berkaitan pesawat berkenaan bermula dari 7 hingga 8 Mac 2014.
Voice 370 yang juga sebuah kumpulan sokongan waris antarabangsa berkata, pendedahan tersebut diperlukan bagi membolehkan pakar-pakar bebas antarabangsa mengesahkan dakwaan laluan pesawat berkenaan pada malam kehilangan MH370.
BACA: Tujuh tahun misteri MH370: Kerajaan terbuka perbincangan untuk teruskan pencarian
Selain itu, rekod berkenaan juga penting bagi menghilangkan keraguan dalam kalangan masyarakat berhubung kebenaran maklumat dan tafsiran berkaitan maklumat perjalanan penerbangan yang membawa 239 penumpang dan kru itu.
Gesaan tersebut antara empat permintaan yang disuarakan oleh pertubuhan tersebut sempena tujuh tahun memperingati MH370.
Selain itu, Voice 370 turut menyeru mana-mana individu atau pihak yang memiliki sebarang maklumat termasuk laporan risikan mengenai keberadaan MH370 agar tampil ke depan.
Dalam perkembangan sama, waris dari China berharap Malaysia Airlines dan syarikat insuran mempertimbang pampasan pendahuluan kepada kes yang masih dalam proses perundangan.
Ia bagi meringankan beban waris mangsa dalam menghadapi situasi sukar ini sementara menanti penyelesaian kes mahkamah.
#MH370 #China #Kehilangan MH370 #Misteri kehilangan MH370 #Tujuh tahun MH370 #MAS #Voice 370 #Malaysia Airlines