Had umur minimum untuk perkahwinan terutama melibatkan kanak-kanak di negeri ini akan dikaji semula, kata exco kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kerangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri, Chong Eng berkata kerajaan negeri mengarahkan penasihat undang-undang negeri untuk mengkaji semula perkara tersebut.

Beliau berkata perkahwinan pada usia muda membabitkan kanak-kanak berkemungkinan berakhir dengan perceraian dan ibu bapa seharusnya menyekat perkara itu dengan tidak memberi kebenaran.

"Undang-undang juga harus mengikut masa dan keperluan. Kita perlu menggunakan sesuatu yang diterima akal. Perkahwinan pada usia terlalu muda tidak akan berjaya dan mungkin berakhir dengan perceraian.

"Mereka masih muda seharusnya berkahwin selepas berusia 18 tahun," katanya ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Khamis.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 memperuntukkan umur minimum untuk perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan kecuali jika Hakim Syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam keadaan tertentu.

Isu perkahwinan bawah umur timbul selepas seorang lelaki berumur 41 tahun berkahwin dengan seorang budak perempuan berumur 11 tahun di Gua Musang, Kelantan pada Jun lalu.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Afif Bahardin dalam ucapan penggulungannya berkata kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kesihatan memutuskan untuk menubuhkan beberapa jawatankuasa bagi memperkasa sektor kesihatan di negeri ini.

Beliau berkata antara jawatankuasa akan ditubuhkan adalah Jawatankuasa 'Non-Communicable Disease' (Penyakit Tidak Berjangkit), Jawatankuasa Pemantauan Projek-projek Infrastruktur Kesihatan dan Jawatankuasa Pelancongan Perubatan.

Beliau berkata dalam masa sama, pihaknya turut mengekalkan Jawatankuasa Petugas Khas Denggi yang ditubuhkan sebelum ini.

"Kesemua ini dibuat demi memastikan kerajaan negeri dapat meningkatkan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan kepada rakyat di negeri ini," katanya.

Persidangan dewan disambung hari ini.

-- BERNAMA