GEORGE TOWN: Pulau Pinang berhasrat untuk menarik lebih banyak operasi penerbangan terus dengan bandar-bandar utama dunia bagi membangunkan kesalinghubungan yang lebih baik demi pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri (PETACE) Yeoh Soon Hin dalam kenyataan hari ini berkata, dengan jumlah pengembara yang kembali meningkat, beliau akan menumpukan sumber yang ada untuk mengenal pasti laluan penerbangan dan inisiatif baharu yang boleh menghubungkan Pulau Pinang dengan destinasi utama lain.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya telah melakukan libat urus dengan pelbagai syarikat penerbangan untuk mencari laluan penerbangan baharu di rantau berbeza di dunia.

"Pandemik memang telah menyukarkan keadaan, tetapi kerajaan Pulau Pinang tetap optimis bahawa kita mampu memperluaskan kesalinghubungan udara ke destinasi utama lain," katanya.

Mengenai pengumuman projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) oleh kerajaan Persekutuan, Yeoh berkata projek itu mampu menampung lebih 12 juta penumpang setahun dan peningkatan trafik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Selain itu, menurutnya pembesaran PIA akan membolehkan Pulau Pinang lebih berdaya saing dalam meningkatkan kemasukan penumpang.

"Sebaik projek tersebut siap dalam tempoh empat tahun, kerajaan Pulau Pinang mampu menjadikan negeri ini sebagai hab penerbangan yang mempunyai kesalinghubungan yang baik di dunia dan memastikan bahagian utara Malaysia mampu mengakses pasaran global," katanya.

Dalam usaha meletakkan Pulau Pinang sebagai antara ibu kota percutian Asia, Yeoh juga mahu pengalaman pengguna di lapangan terbang diberi perhatian.

"Dalam tempoh pascapandemik ini, keyakinan terhadap industri pelancongan kian meningkat dan pengembara China sangat ingin melancong, jadi kita harus menambah baik perkhidmatan pelanggan dan memikirkan cara untuk membuatkan orang berasa selesa ketika berada di lapangan terbang. Saya sendiri sebagai penumpang sangat mementingkan kemudahan yang bersih ke mana sahaja saya pergi," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah penting untuk memastikan tahap kebersihan kemudahan itu tidak menjejaskan kerja-kerja pengembangan baharunya pada masa hadapan.

Beliau menggesa pengendali lapangan terbang sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkaitan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di lapangan terbang antarabangsa lain, supaya penumpang yakin bahawa langkah keselamatan serta kebersihan setanding dengan standard dunia.

-- BERNAMA