MALAYSIA

P. Pinang mulai salur bayaran fasa kedua Program i-Sejahtera esok

Bernama 05/08/2025 | 05:33 MYT
Pembayaran fasa kedua Program i-Sejahtera akan dikreditkan secara pindahan wang elektronik (EFT). - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan pembayaran fasa kedua Program i-Sejahtera tahun ini, yang akan dikreditkan secara pindahan wang elektronik (EFT) kepada 9,405 penerima mulai esok.


Ringkasan AI
  • RM1.72 juta diagih kepada 9,405 penerima: Bermula esok, kerajaan Pulau Pinang akan kreditkan bayaran bantuan melalui EFT bagi warga emas, ibu tunggal, OKU dan suri emas.
  • Pendaftaran sebelum 30 Jun untuk kelayakan Fasa 2/2025: Permohonan selepas tarikh itu akan diproses bagi Fasa 1/2026; pemohon digesa kemas kini maklumat bank segera.
  • RM53.83 juta disalurkan bagi JanuariJulai 2025: Melibatkan 285,816 penerima merangkumi pelbagai kategori bantuan, menunjukkan komitmen jangka panjang kebajikan rakyat.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim, berkata pembayaran ini melibatkan jumlah keseluruhan RM1,721,300 sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.

Beliau berkata pembayaran Fasa 2/2025 hanya diberikan kepada pemohon baharu yang mendaftar sebelum 30 Jun setiap tahun dan permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut akan diproses untuk Fasa 1/2026.

"Pecahan bayaran dan jumlah penerima bagi Fasa 2/2025 adalah seperti berikut: penghargaan warga emas kepada 7,187 penerima dengan jumlah RM1,437,400; bantuan ibu tunggal kepada 317 penerima berjumlah RM317,000; penghargaan suri emas kepada 1,280 penerima dengan jumlah RM1,280,000; serta bantuan orang kurang upaya (OKU) kepada 621 penerima berjumlah RM124,200," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM53.83 juta kepada 285,816 penerima dari pelbagai kategori bagi Fasa 1 dan Fasa 2 dari Januari hingga Julai 2025.

Beliau menjelaskan, kategori penerima terdiri daripada penghargaan warga emas sebanyak 209,938 penerima dengan nilai RM41,987,600; bantuan ibu tunggal kepada 10,644 penerima bernilai RM1,064,400; penghargaan suri emas kepada 44,231 penerima dengan jumlah RM4,423,100; bantuan OKU kepada 15,608 penerima sebanyak RM3,121,600; anak emas (one-off) kepada 2,700 penerima berjumlah RM540,200; serta sumbangan khairat kematian (one-off) kepada 2,695 penerima berjumlah RM2,695,000.

Beliau juga menggesa semua pemohon supaya segera mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan proses pembayaran Fasa 1/2026 berjalan lancar.

Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan harian rakyat dengan hasrat agar setiap bantuan kebajikan yang disalurkan memberi kesan positif kepada semua golongan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program i-Sejahtera, orang ramai boleh menghubungi Unit KEMARA di talian 04-650 5699 / 5700, atau hadir ke Pejabat i-Sejahtera di Tingkat 44, Komtar, pada hari bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Pendaftaran juga boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi: https://isejahtera.penang.gov.my.

-- BERNAMA




#Program i-Sejahtera #pulau pinang #lim siew khim #Fasa dua