MALAYSIA

P. Pinang nafi kawasan hijau di Tanjung Bungah dimusnah untuk pembangunan mewah - Exco

Bernama 01/11/2025 | 13:04 MYT
Zairil berkata, kerja tanah sedang dijalankan di tapak itu adalah untuk pembinaan taman awam tepi laut yang akan menjadi kemudahan rekreasi. - Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan bahawa kawasan hijau dan ruang pantai di atas tanah bersebelahan Lot 4658 Tanjung Bungah di sini akan dimusnahkan untuk projek pembangunan mewah.

Pengerusi Jawatankuasa, Pengangkutan dan Digital Zairil Khir Johari berkata kerja tanah sedang dijalankan di tapak itu adalah untuk pembinaan taman awam tepi laut yang akan menjadi kemudahan rekreasi untuk semua, khususnya penduduk setempat.

Beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan permohonan Kebenaran Merancang Tetuan Lone Pine Residence Sdn Bhd di atas lot 4658 bagi cadangan pembinaan wellness suites setinggi lima tingkat.

"Dalam permohonan kemajuan itu, pihak pemaju juga disyaratkan untuk membina taman awam di atas tanah kerajaan bersebelahan lot 4658.

"Jadi, tohmahan dan spekulasi yang kawasan hijau dan ruang pantai di tapak tersebut akan dimusnahkan oleh pembangunan mewah adalah satu fitnah jahat dan tidak benar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga merancang menjadikan kawasan hijau di Tanjung Bungah sebagai taman awam, yang memberi manfaat kepada penduduk setempat dan pelancong.

"Taman ini dijangka menjadi pusat riadah keluarga dan memenuhi keperluan masa panjang, sejajar dengan persediaan Malaysia ke arah negara menua," katanya.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah berkata kerajaan negeri telah mensyaratkan Lone Pine Residence Sdn Bhd untuk membina taman awam terlebih dahulu, dengan permohonan pembinaan diluluskan pada 5 Dis 2024 dan permit pencabutan, pemindahan serta pengangkutan bahan batuan diluluskan pada 7 Mei lepas.

"Cadangan taman awam bakal dibina akan merangkumi pembinaan trek joging, taman permainan kanak-kanak, ruang istirahat, fasiliti senaman, persiaran tepi laut dan kawasan ini akan diliputi dengan pokok serta tumbuhan hijau," katanya.

-- BERNAMA

#pulau pinang #pembangunan #Tanjung Bungah #taman rekreasi #pemaju #kawasan hijau