GEORGE TOWN:Pulau Pinang hari ini memperkenalkan kaedah baharu bagi Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi, Elaun dan Kos) Negeri Pulau Pinang 2020 dalam usaha menyelaraskan undang-undang syariah di seluruh Malaysia.

Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang Muhamad Abdul Karim Wahab berkata kewujudan enakmen itu penting kerana ia dapat menyuntik impak perubahan dan meningkatkan kemajuan sistem perundangan syariah negeri tersebut sekali gus memartabatkan imej Mahkamah Syariah Pulau Pinang di persada perundangan negara serta antarabangsa.

"Usaha dan cadangan untuk menyelaras kutipan fi, bayaran elaun dan kos ini sebenarnya telah dimulakan oleh Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil di peringkat Persekutuan sejak tahun 2000.

"Bermula dari tarikh itu, beberapa negeri telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan kaedah yang seragam sebagaimana yang telah disediakan oleh jawatankuasa terbabit," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kaedah itu di sini pada Rabu.

Beliau berkata meskipun Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah tiga kali digubal, kadar kutipan dan fi yang berkuat kuasa masih berdasarkan kaedah lama.

"Sebelum ini, kutipan fi yang dikenakan di Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang adalah berdasarkan The Penang Muslim Religious Affairs (Form and Fees) Rules 1961.

"Kaedah ini sudah berusia 59 tahun lebih setengah abad dan tidak dapat memenuhi keperluan undang-undang semasa.

"Kaedah lama juga sudah tidak relevan dan tidak sesuai digunakan lagi.

"Sebagai contoh, kaedah sebelum inI tidak menyatakan dengan jelas tentang fi dan kos yang dikenakan ke atas dokumen yang diguna pakai seperti pembelaan, tuntutan balas, perakuan segera dan dokumen-dokumen lain," katanya.

Muhammad Abdul Karim berkata banyak negeri lain telah menguatkuasakan Kaedah-Kaedah Fi, Elaun dan Kos Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah yang baharu, antaranya Kelantan pada 2002, Melaka (2003), Johor (2004), Selangor (2006) dan Kedah (2018).

"Kadar yang ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah yang lama adalah tidak bersesuaian lagi dengan keadaan semasa. Jika kita rujuk dalam kaedah lama, masih terdapat bayaran pendaftaran kes sebanyak RM1. Oleh itu, Kaedah-Kaedah baharu yang diwartakan ini adalah seiring dengan keperluan semasa dan taraf hidup masyarakat," katanya.

Beliau berkata kaedah baharu bagi Pulau Pinang secara rasmi diwartakan pada 8 Okt lepas setelah mendapat persetujuan dan kelulusan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat pada 4 Ogos lepas.

-- BERNAMA