GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menimbangkan pengintergrasian Pas Mutiara dengan perkhidmatan feri baharu agar satu kadar yang disubsidi dapat ditawarkan bagi manfaat rakyat.

Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Negeri Zairil Khir Johari berkata beliau juga telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bagi mengurangkan lagi beban rakyat pada jangka masa panjang khususnya penumpang tetap yang menggunakan perkhidmatan feri secara kerap.

"Kami secara prinsip bersetuju untuk pertimbangkan pengintegrasian Pas Mutiara iaitu pas bulanan yang kini dibiayai oleh kerajaan negeri bagi penumpang bas Rapid Penang dengan perkhidmatan feri, agar satu kadar yang disubsidi dapat ditawarkan bagi manfaat rakyat.

"Bagaimanapun cadangan itu perlu diperincikan dengan lebih mendalam dan pelaksanaannya juga tertakluk kepada pengintegrasian sistem kedua-dua bas dan feri yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.

"Kerajaan negeri terus komited untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Pengangkutan bagi mencapai hasrat untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh " katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, PPSB selaku syarikat pengendali perkhidmatan feri itu dalam kenyataan memaklumkan kadar tambang untuk perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang yang dikenakan kepada penumpang berkuat kuasa hari ini bermula pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 bagi sehala.

PPSB turut menawarkan pas bulanan yang menawarkan diskaun kepada pengguna setia feri iaitu penumpang pejalan kaki bagi pemegang MyKad dapat menikmati diskaun 50 peratus, sehingga 31 Dis nanti dan selepas itu diskaun 30 peratus bermula dari 1 Jan 2024.

-- BERNAMA