P.Pinang siap siaga hadapi fenomena La Nina

Semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri di Pulau Pinang telah bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir sepanjang fenomena La Nina yang dijangka berlaku dari Oktober hingga Disember ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow. - BERNAMA
GEORGE TOWN: Semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri di Pulau Pinang telah bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan banjir sepanjang fenomena La Nina yang dijangka berlaku dari Oktober hingga Disember ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga telah menggerakkan agensi teknikal dan pasukan penyelamat untuk memastikan kesiapsiagaan pada tahap maksimum kerana purata bilangan hari hujan dalam tempoh itu antara lapan hingga 21 hari sebulan dengan bilangan tertinggi dijangka pada Oktober.
"Keadaan cuaca ini boleh menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan struktur bangunan dan oleh itu, semua agensi perlu memastikan aset, logistik dan tenaga kerja dalam keadaan siap siaga," katanya pada sidang media di pejabat beliau di sini hari ini.
Chow berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri juga melaksanakan langkah perlu termasuk menyelenggara kolam takungan, sungai dan sistem saliran di kawasan hotspot serta memeriksa stesen hidrologi dan sistem telemetrik bagi memastikan semua peralatan berfungsi dengan baik.Selain itu, persediaan logistik dan peralatan operasi seperti bot penyelamat, pam air bergerak, lori dan kenderaan pacuan empat roda turut disediakan untuk operasi pantas sekiranya berlaku banjir.
"Kesiapsiagaan adalah langkah terbaik dan semua pihak perlu berada dalam keadaan bersedia, daripada agensi pengurusan bencana, pasukan penyelamat sehingga komuniti setempat," katanya.
Chow juga menekankan kepentingan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPS untuk memastikan sistem saliran tidak tersumbat dengan sampah sarah.
JPS juga perlu memastikan semua pam air berfungsi dan kunci rumah pam harus mudah diakses, dengan Chow memaklumkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kini turut dipertanggungjawabkan menyimpan satu set kunci untuk memastikan sistem dapat diaktifkan segera jika diperlukan.
Beliau berkata Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) negeri dan daerah juga telah bersiap sedia untuk diaktifkan bagi tujuan pemantauan serta penyelarasan operasi, selain kerajaan negeri telah mengenal pasti 389 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh diaktifkan pada bila-bila masa.
"Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) turut dalam keadaan kesiapsiagaan penuh dengan sistem komunikasi, pangkalan data serta talian khas bencana dan akan menjadi pusat penyelarasan utama semua agensi negeri, daerah dan Persekutuan dalam pengumpulan serta penyaluran maklumat bencana secara masa nyata," katanya.
Fenomena La Nina yang dijangka melanda negara dalam tempoh Oktober hingga Disember boleh membawa hujan lebat berpanjangan yang berpotensi menyebabkan banjir.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami