KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan bermesyuarat pada 26 Julai depan, kata Pengerusinya, Wong Kah Woh.

Beliau berkata, surat pemakluman tarikh mesyuarat PAC Parlimen ke-14 itu telah dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.

Katanya, mesyuarat itu akan diadakan seiring titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen bersidang untuk menjalankan fungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

"Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi PAC Parlimen ke 14 akan memanggil Jawatankuasa ini untuk bersidang pada 26 Julai 2021, Isnin, jam 2 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan secara fizikal melibatkan semua ahli PAC serta ahli ex officio bagi membincangkan jadual mesyuarat PAC yang akan datang terutama membabitkan perkara-perkara yang tertangguh sebelum ini.

Antara lain kata beliau, intipatinya juga adalah bertujuan untuk mengemas kini jadual mesyuarat PAC Parlimen.

"Bagaimanapun, jawatankuasa ini terbuka untuk mengadakan mesyuarat ini secara hibrid sekiranya tidak melanggar mana-mana Peraturan Mesyuarat Majlis- Majlis Dewan Rakyat," ujar beliau dalam kenyataan sama.