MALAYSIA

PAC kemuka lima saranan kritikal, syor nilai semula prestasi GLC/GLIC

Bernama 04/12/2025 | 10:45 MYT
Menurut Mas Ermieyati, fokus utama mesti diberikan kepada peningkatan pulangan terhadap pelaburan yang menggunakan dana awam. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan kerajaan menilai semula prestasi syarikat milik kerajaan seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) yang menunjukkan prestasi lemah, termasuk kemungkinan penstrukturan atau penyusunan semula tadbir urus.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata langkah ini merupakan antara lima saranan kritikal yang perlu dilaksanakan secara konsisten oleh semua pihak berkepentingan, selaras dengan penemuan yang dibangkitkan sepanjang prosiding dan laporan PAC pada 2025.

Menurutnya fokus utama mesti diberikan kepada peningkatan pulangan terhadap pelaburan yang menggunakan dana awam.

"PAC juga mendapati terdapat kelemahan pengurusan dalam syarikat GLC/GLIC menyebabkan syarikat milik kerajaan gagal memberikan pulangan sepadan dengan dana awam yang dilaburkan sekali gus meningkatkan risiko kewangan," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Mas Ermieyati berkata kelemahan ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi merupakan ancaman langsung kepada kestabilan kewangan jangka panjang negara.

Selain itu, PAC mengesyorkan pemuktamadan setiap kontrak sebelum sebarang pelaksanaan projek atau penggunaan sistem.

"Ini penting bagi meningkatkan standard dokumentasi, pengauditan awal dan penilaian risiko perolehan seterusnya memperkukuh disiplin kerja dan menghapuskan amalan ketidakcekapan yang berpunca daripada kelonggaran tadbir urus," katanya.

Mas Ermieyati berkata syor lain supaya setiap projek infrastruktur berskala besar menilai impak jangka panjang terhadap fiskal negara dan kemampuan rakyat atau pengguna.

"Penilaian ini perlu melibatkan aspek teknikal, kewangan, tadbir urus dan keberhasilan projek secara holistik bagi menjamin keputusan yang terbaik," katanya.

Turut disarankan adalah audit secara berkala terhadap setiap projek berisiko tinggi semasa pelaksanaan dan bukan hanya selepas berlaku kegagalan, selain menambah baik penyelarasan antara kementerian, agensi pelaksana dan pihak berkepentingan bagi mengelakkan kelewatan yang membawa kos tambahan dan pembaziran, katanya.

Saranan seterusnya adalah keutamaan segera perlu diberikan untuk memperkukuh sistem kutipan hasil negara, tindakan penguatkuasaan dan mekanisme penyelesaian tunggakan Akaun Belum Terima (ABT) demi meningkatkan keberkesanan pengurusan hasil negara secara menyeluruh.

Mas Ermieyati bagaimanapun berkata PAC menyambut baik dan mengambil maklum terhadap tindakan susulan dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berhubung syor yang dibangkitkan sebelum ini.

"PAC yakin bahawa pelaksanaan syor ini secara konsisten dan tegas akan membantu mengurangkan risiko ketirisan, meningkatkan nilai untuk wang serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan kewangan negara," katanya.

Beliau berkata sepanjang 2025, PAC Parlimen ke-15 mengadakan 147 mesyuarat dan membentangkan 17 penyata.

-- BERNAMA


#PAC #Mas Ermieyati Samsudin #kemuka syor #GLC