MALAYSIA

PAC mulakan prosiding isu pengurusan kenderaan, sistem e-Jamin

Bernama 06/11/2025 | 09:20 MYT
Mas Ermieyati (foto) berkata prosiding pengurusan kenderaan diadakan pada 3 Nov dengan memanggil MOF, sementara prosiding berhubung sistem e-Jamin berlangsung pada 4 Nov melibatkan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen telah memulakan dua prosiding berhubung isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, melibatkan pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi dan kutipan deposit wang jaminan jenayah di bawah sistem e-Jamin.


Ringkasan AI
  • PAC Parlimen memulakan prosiding berkaitan pengurusan kenderaan kerajaan dan sistem e-Jamin berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025.
  • Proses pemanggilan melibatkan pihak Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Pertahanan, dan Dalam Negeri, serta syarikat SPANCO Sdn Bhd dan Dapat Vista (M) Sdn Bhd bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
  • Persidangan PAC Kebangsaan akan diadakan pada tahun depan berdasarkan persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, bertujuan memperkukuh kerjasama antara PAC Parlimen dan PAC Negeri.


Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding pengurusan kenderaan diadakan pada 3 Nov dengan memanggil Kementerian Kewangan (MOF), sementara prosiding berhubung sistem e-Jamin berlangsung pada 4 Nov melibatkan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

"Berhubung perjanjian konsesi kerajaan di bawah MOF, PAC akan memanggil pihak Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri selaku tiga kementerian yang memiliki kenderaan tertinggi di bawah perjanjian konsesi itu.

"PAC juga akan memanggil pihak syarikat SPANCO Sdn Bhd dalam prosiding nanti," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Mas Ermieyati berkata berhubung sistem e-Jamin, PAC akan meneruskan prosiding seterusnya dengan memanggil syarikat Dapat Vista (M) Sdn Bhd, selaku kontraktor yang membangunkan sistem berkenaan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bersetuju dengan cadangan PAC untuk menganjurkan Persidangan PAC Kebangsaan pada tahun depan.

Mas Ermieyati berkata ia susulan perjumpaan bersama Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri, Setiausaha serta wakil Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini, antaranya bagi memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian tadbir urus antara PAC Parlimen dan PAC Negeri.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tajuk isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang sedang dibincangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen?
    A: Isu kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi dan kutipan deposit wang jaminan jenayah di bawah sistem e-Jamin.
  • Q: Siapakah pihak-pihak yang dipanggil untuk prosiding berhubung pengurusan kenderaan di bawah perjanjian konsesi oleh PAC?
    A: PAC memanggil Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, serta syarikat SPANCO Sdn Bhd.
  • Q: Siapakah yang akan dipanggil bagi prosiding berhubung sistem e-Jamin oleh PAC?
    A: PAC akan memanggil syarikat Dapat Vista (M) Sdn Bhd, kontraktor yang membangunkan sistem e-Jamin, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan.



#Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Mas Ermieyati #PAC #pengurusan kenderaan kerajaan #sistem e-Jamin