KUALA LUMPUR: Isu pengurusan modal insan dan budaya kerja kini menjadi keutamaan utama kepimpinan korporat dalam mendepani landskap perdagangan global yang semakin berpecah serta cabaran kecerdasan buatan (AI).
Seiring cabaran ini, People & Culture Conference (PACC) edisi ketiga bakal kembali sebagai platform membincangkan strategi mampan bagi mentransformasikan persekitaran kerja di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Profesional Malaysia (MIDP) selaku penganjur utama PACC, Emellia Shariff berkata, antara salah faham terbesar dalam dunia perniagaan hari ini ialah tanggapan bahawa prestasi tinggi hanya boleh dicapai dengan mengorbankan kesejahteraan pekerja.
“Realitinya, kesejahteraan tidak perlu diketepikan demi mencapai prestasi. Apabila organisasi secara konsisten mengabaikan kemampanan dalam pengurusan sumber manusia, mereka sebenarnya sedang mengumpul apa yang saya istilahkan sebagai ‘hutang kemanusiaan’.
“Hutang ini merangkumi budaya berdiam diri, ketidakterlibatan (disengagement), kehadiran bekerja ketika sakit (presenteeism) dan kelesuan melampau (burnout). Kesan-kesan ini mungkin tidak ketara dalam jangka pendek, namun akhirnya akan memberi beban besar kepada organisasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Emellia, PACC 2026 akan memberi tumpuan kepada dua tonggak utama iaitu Kepimpinan & Daya Tahan Organisasi serta Pengalaman Pekerja & Keselamatan Psikologi, yang menyentuh secara langsung tekanan dan cabaran yang dihadapi pemain industri pasca pandemik.
PACC 2026 juga mendapat sokongan pelbagai organisasi yang memperjuangkan tempat kerja inklusif, antaranya LeadWomen, Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Wanita (IWFCI), Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), 30% Club Malaysia, Women in Tech serta Speak Up Malaysia.
Persidangan yang akan berlangsung pada 5 hingga 6 Ogos di Connexion Conference & Event Centre (CCEC), Bangsar South itu dijangka menghimpunkan kira-kira 300 pemimpin perniagaan, pembuat keputusan korporat dan pakar pengurusan bakat.