BUKIT MERTAJAM: Padah berdegil untuk berhibur, pekerja sebuah pusat hiburan di Bukit Tengah di sini, dan 19 pelanggan dikompaun polis dengan nilai keseluruhan berjumlah RM120,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata kesemua mereka yang dikompaun terdiri daripada pekerja berusia 21 tahun serta 19 pelanggan lelaki berusia antara 19 hingga 44 tahun.

Shafee berkata, sepasukan polis dari Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menyerbu pusat hiburan di Jalan Icon City, Bukit Tengah semasa Op COVID Pemantauan Pusat Hiburan dan Noda, jam 1. 10 pagi Ahad.

Pemeriksaan mendapati sekumpulan lelaki sedang leka berhibur sambil meminum alkohol hingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka didapati tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal. Semua pelanggan itu dikompaun RM5,000 setiap seorang manakala premis itu pula dikompaun RM25,000,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, kompaun itu dikeluarkan selepas kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19(1) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta342).