SEREMBAN: Tindakan lelaki bermain mercun di atas jalan raya di Kuala Sawah, Rantau, di sini Jumaat lalu sehingga tular di Facebook membawa padah apabila dia didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Majistret Syed Farid Syed Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap, P Manimaran, 23, selepas dia membuat pengakuan bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 10 bulan jika tertuduh gagal membayarnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pemandu jengkaut didapati melakukan sesuatu perbuatan dengan niat hendak menyebabkan dengan menggunakan bahan letupan, suatu letupan dari jenis yang mungkin boleh membahayakan nyawa atau menyebabkan kerosakan teruk pada harta.

Kesalahan berkenaan dilakukan di Simpang Tiga Jalan Kuala Sawah-Ulu Sawah, Rantau, di sini, kira-kira jam 3 petang, 10 November lalu.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Sebelum itu tertuduh terkejut apabila mendengar hukuman yang akan dikenakan terhadapnya dan mula teragak-agak dengan pengakuan bersalahnya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Redzuan Hakiim memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda yang paling minimum memandangkan tertuduh hanya mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan selain mengambil kira pengakuan bersalahnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang lain. - Sinar Harian