Padah menyamar anggota polis

Astro Awani
September 11, 2018 04:12 MYT
Polis menemukan sepasang gari, walkie-talkie, sehelai baju berlogo dan bertulis 'Polis' di dalam raga motosikal lelaki itu. -Foto PDRM
Padah menyamar sebagai anggota polis, seorang lelaki ditahan dalam operasi pencegahan jenayah di Machang Bubok, Bukit Mertajam malam tadi.
Dalam operasi sekitar jam 9.20 malam, suspek berusia 32 tahun itu ditahan polis selepas menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata polis menemukan sepasang gari, walkie-talkie, sehelai baju berlogo dan bertulis 'Polis' di dalam raga motosikal lelaki itu.
Suspek yang bekerja di Jabatan Kesihatan di Kulim itu kemudiannya dibawa ke balai polis selepas siasatan lanjut mendapati semua barang yang dirampas digunakan untuk menyamar sebagai pegawai polis di sekitar Machang Bubok.
Selain itu suspek turut menggunakan sebuah motosikal menggunakan pendaftaran palsu dipercayai untuk melakukan jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan suspek direman bagi membantu siasatan.
#Kanun Keseksaan #Kulim #Machang Bubok #Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid #penjawat awam #polis