MALAYSIA

Padah miliki pistol tanpa kebenaran, lelaki warga India dituduh di mahkamah

Adie Sufian Zulkefli 04/12/2025 | 03:40 MYT
Mohd Haseen (kiri) didakwa di mahkamah kerana memiliki sepucuk pistol jenama ‘Sig Sauer’ berwarna hitam tanpa kelulusan sah di pejabat sebuah kilang di Jalan Semeling, Bedong, Sungai Petani, bulan lalu. - Gambar Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang jurukimpal warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah di sebuah kilang di Bedong, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Haseen, 38, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenama ‘Sig Sauer’ berwarna hitam tanpa kelulusan sah di pejabat sebuah kilang di Jalan Semeling, Bedong, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 6.45 petang pada 13 November lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, selain mengarahkan seorang jurubahasa Hindi dilantik bagi membantu tertuduh memahami prosiding.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Alex Pang Tak Fatt, manakala tertuduh diwakili peguam Savinder Singh.

Media sebelum ini, melaporkan polis menahan lelaki warga India selepas menemui kelopak peluru dan dua butir peluru dalam serbuan di asrama sebuah kilang memproses mi dan kuey teow di Jalan Semeling, Bedong, pada 11 November lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan menemui kotak biru berisi kelopak peluru dan peluru di dalam bilik asrama tertuduh kira-kira jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Susulan penemuan itu, satu lagi serbuan dilakukan di pejabat kilang sama pada 13 November lalu, sebelum anggota menemukan beg plastik hijau di celah kotak yang mengandungi sepucuk pistol dan satu kelopak peluru tanpa peluru.

Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di sebuah pangsapuri di Mukim Kuah, Langkawi, pada 15 November kerana disyaki menjadi individu yang membekalkan senjata api berkenaan kepada tertuduh.





#pistol tanpa kebenaran #lelaki warga India #pistol Sig Sauer #Mahkamah Sesyen Sungai Petani