Seorang penganggur dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan terhadap pertuduhan merogol dua remaja perempuan bawah umur yang dikenali menerusi aplikasi WeChat, Mei lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman selepas tertuduh Amirudin Mohamad Rosli, 26, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa daripada tarikh ditangkap pada 25 Mei 2018.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa merogol dua remaja perempuan masing-masing berusia 13 tahun dua bulan dan 12 tahun 11 bulan secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Kampung Nipah, Bachok, jam 1.30 pagi, pada 24 Mei 2018.

Lelaki itu turut didakwa merogol dua mangsa sama di sebuah rumah di Kampung Chong, Perupok, Bachok, jam 1.30 pagi, 25 Mei 2018.

Mengikut fakta kes, tertuduh membawa dua remaja perempuan yang dikenali melalui aplikasi WeChat itu bersiar-siar sebelum merogol mereka secara bergilir-gilir di sebuah rumah pada 24 Mei lalu.

Dalam kejadian kedua, tertuduh membawa dua mangsa sama ke rumah rakannya sebelum merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam sebuah bilik.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya kerana perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Siti Hajar Alias memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan serius membabitkan dua mangsa yang masih muda.