IPOH: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah merompak sepasang subang emas milik nenek saudaranya dengan bersenjatakan pemutar skru, minggu lepas.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad memerintahkan Mohamad Fitri Abdul Aziz, 39, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Okt lepas.
Terdahulu, Mohamad Fitri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak berniat untuk merompak, sebaliknya bertindak demikian kerana sakit hati sering dituduh mencuri oleh mangsa sebelum ini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak barang kemas milik Lailan Yeop Tarikh, 77, menggunakan pemutar skru di sebuah rumah di Kampung Tanjong, Kampung Kepayang, Simpang Pulai pada kira-kira 10.30 pagi, 16 Okt lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hairol Gemain bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan memandangkan mangsa yang merupakan warga emas mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.
“Kami percaya niat telah ada daripada awal kerana melihat daripada fakta kes, kejadian berlaku pada 10.30 pagi menunjukkan tertuduh tahu pengadu seorang diri di rumah kerana tidak lagi tinggal bersamanya.
“Tertuduh juga telah menjual (salah) satu subang tersebut kepada kedai pajak gadai dan memperoleh keuntungan secara salah daripada perbuatan jenayah yang dilakukan," katanya.
Mengikut fakta kes, lelaki itu dipercayai memasuki rumah mangsa dengan membawa pemutar skru sebelum mengikat kedua-dua tangan wanita berkenaan menggunakan pita pelekat.
Tertuduh kemudian melarikan diri selepas mangsa yang ketika itu bersendirian di rumah dan berikutan kejadian mangsa mengalami kecederaan lebam pada kedua-dua pergelangan tangan dan kerugian dianggarkan RM3,000.
-- BERNAMA